Rekaan pelajar UiTM Shah Alam pada International Cultural Fashion Week.

KUALA LUMPUR – Sebanyak empat Institut Pengajian Tinggi (IPT) telah menyertai  International Cultural Fashion Week (ICFW) sempena festival Precious Of Malaysia yang berlangsung di Menara Affin, Tun Razak Exchange (TRX) baru-baru ini.

Ia membabitkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam yang berjaya meraih tempat ketiga selain Taylor’s University, ESMOD Kuala Lumpur dan Kolej Komuniti Selayang.

Penganjur acara dari FM Group, Farel Mikhail berkata, pihak menerima sambutan luar biasa daripada IPT lain untuk menyertai pertandingan ICFW itu.

Namun, katanya, acara anjuran kali ketiga itu hanya memilih empat IPT sahaja kerana mahu lebih fokus dan pentingkan kualiti.

“ICFW tahun depan kami akan melibatkan lebih banyak IPT untuk menghantar peserta selepas melihat kesungguhan dan rekaan yang bakal ditampilkan. Ini kerana, kami mahukan sentuhan baharu, kreatif dan idea luar kotak terhadap busana tradisional.

“Dalam masa yang sama, ICFW adalah platform buat mereka untuk dikenali dan terus ‘terbang tinggi’ dalam bidang rekaan fesyen kerana melalui pertandingan seperti inilah bakat mereka boleh digilap dan bersaing secara sihat.

“Ada juga yang bertanya, buat apa penat lelah memberi ruang kepada para pelajar IPT. Jawapannya adalah rasa tanggungjawab kami sebagai anak muda untuk terus memartabatkan budaya Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Rekaan pelajar Kolej Komuniti Selayang pada International Cultural Fashion Week (ICFW) sempena festival Precious Of Malaysia.

Bagi pereka fesyen, Jonathan berharap ICFW ini menjadi pemangkin kepada anak-anak muda di IPT untuk menyerlahkan bakat mereka bamun berbangga apabila ramai anak muda yang cenderung memperjuangkan busana tradisional yang merupakan sebahagian daripada budaya kita.

Menurut beliau, inilah masanya untuk mereka membuktikan bakat atau kebolehan mereka.

“Ada sesetengah pelajar lepasan jurusan fesyen, mereka tiada tempat untuk memperlihatkan karya mereka dan terus melebarkan sayap dalam bidang fesyen.

Jadi ICFW inilah peluang buat mereka dan para pelajar IPT ini turut berentap dengan pereka fesyen muda yang sudah mempunyai jenama sendiri.

Sementara itu, juara ICFW – Precious Of Malaysia disandang oleh Afiq Syazani, diikuti naib juara, Rashid Moshi dan UiTM di tempat ketiga)dan Zuramir (tempat keempat).

Apa yang istimewa, Precious Of Malaysia disokong oleh Jabatan Warisan Negara dan Kementerian Perlancongan, Seni dan Budaya. – MalaysiaGazette

Precious Of Malaysia disokong oleh Jabatan Warisan Negara dan Kementerian Perlancongan, Seni dan Budaya.