Bank Rakyat turut menyumbangkan sejumlah RM30,000 kepada Tabung Amanah Zakat di CityU.

KUALA LUMPUR – City University Malaysia (CityU) mengambil inisiatif bagi membantu pelajar yang kurang berkemampuan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dengan melaksanakan program Sahabat Zakat CityU.

Pengerusi Tabung Amanah Zakat CityU, Profesor Madya Dr. Rosnizah Shaari berkata, program itu dijalankan sebagai platform bagi membolehkan komuniti turut sama menghulurkan sumbangan.

“Program Sahabat Zakat adalah inisiatif yang membolehkan komuniti bersama-sama menyumbang dalam kutipan zakat di City University.

“Platfom ini boleh dijadikan sebagai salah satu medium yang lebih komprehensif bagi menyalurkan sumbangan dan dokongan kepada pelajar-pelajar yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan.

Majlis pelancaran program Sahabat Zakat CityU turut dihadiri oleh pendakwah terkenal, Ustaz Syamsul Debat.

Mengulas lanjut, Rosnizah yang juga merupakan Timbalan Naib Canselor Kanan (Perkhidmatan Korporat & Kelestarian) dan Pendaftar City U memberitahu, universiti swasta yang ditubuh sejak lebih 40 tahun lalu itu turut aktif dalam menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

Kata beliau, ia melibatkan seperti rumah kebajikan, rumah tahfiz, rumah anak-anak yatim di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

“Sumbangan zakat juga disalurkan kepada para pelajar asnaf di setiap kampus CityU termasuk Petaling Jaya, Sabah dan Johor Bahru.

“Justeru itu, kami menyeru supaya lebih ramai masyarakat di luar sana untuk mendaftar menjadi Sahabat Zakat CityU agar lebih ramai lagi penuntut universiti asnaf dapat dibantu,” katanya.

Sementara itu, majlis pelancaran program Sahabat Zakat CityU dihadiri oleh wakil Lembaga Zakat Selangor, Bank Rakyat dan juga turut dimeriahkan oleh pendakwah terkenal, Ustaz Syamsul Debat.

Pada majlis sama, Bank Rakyat turut menyumbangkan sejumlah RM30,000 kepada Tabung Amanah Zakat di universiti itu.

Sebelum ini, CityU telah menyantuni 110 orang pelajar-pelajar asnaf dalam sebuah Majlis Iftar CityU 2024. – MalaysiaGazette