SEPANG – Tiga rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan yang dikurung dan terkandas di Phnom Penh, Kemboja berjaya diselamatkan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) hari ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, mereka bukan sahaja terkandas di negara jiran, bahkan dikurung dan diseksa sindiket jika gagal mendapat “jualan” bagi aktiviti Love Scam dan Scam Pekerjaan.
Beliau berkata, pada awalnya ketiga-tiga rakyat Malaysia itu ditawarkan pekerjaan sebagai pegawai pemasaran dengan bayaran gaji dan imbuhan yang lumayan di sebuah syarikat di Kemboja.
“Mereka melihat iklan peluang pekerjaan di media sosial hingga mereka pergi ke Bangkok, Thailand.
“Mereka kemudiannya dibawa masuk ke Myanmar dengan keadaan mata ditutup untuk bekerja dan diseludup ke Kemboja,” katanya pada sidang media di Balai Ketibaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), di sini, hari ini.
Terdahulu tiga lelaki yang berasal dari Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Johor selamat mendarat di KLIA2, di sini selepas terkandas di Kemboja antara tiga bulan hingga dua tahun lalu.
Menurut Hishammuddin, selepas mereka mendarat dan dibawa ke pejabat syarikat berkenaan, segala janji yang ditawarkan hanyalah palsu semata-mata.
“Sebenarnya mereka diperdaya dan dipaksa bekerja dengan syarikat yang melakukan pelbagai jenayah penipuan termasuk Love Scam dan Scam Pekerjaan.
“Jika tiga individu ini gagal mendapatkan jualan atau mangsa baharu daripada aktiviti penipuan ini, mereka akan diseksa termasuk dipukul dengan teruk dan disebat dengan rotan pada anggota badan.
“Mereka juga akan dipaksa melakukan tekan tubi sebanyak 500 kali dan bekerja dalam tempoh lama sehingga 16 jam sehari,” katanya.
Menurutnya, ketiga-tiga individu ini bukan sahaja dipaksa bekerja, bahkan diugut dengan senjata api bagi mengelakkan mereka daripada melarikan diri.
“Bagaimanapun mereka berjaya menghubungi Ketua Misi Penyelamat Pemerdagangan Manusia MHO, Azirul Syafiq dengan kerjasama NGO-NGO tempatan dan pasukan keselamatan di Kemboja.
“Akhirnya mereka berjaya diselamatkan dan selamat mendarat ke tanah air pada hari ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette