Insiden polis menembak dua kenderaan dan menumpaskan empat suspek penjenayah curi kabel di Balakong Batu11 awal pagi Sabtu.

KAJANG – Sekumpulan pencuri kabel berjaya diberkas polis selepas tembakan dilepaskan pada tayar dua kenderaan yang digunakan oleh mereka.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, lebih  kurang 6.05 pagi  tadi, pihaknya menerima makluman sekumpulan lelaki menaiki dua buah kereta jenis Nissan Frontier dan BMW dengan sengaja dan agresif  melanggar kenderaan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD tersebut.

“Kejadian berlaku semasa anggota polis sedang membuat operasi serta rondaan kegiatan curi kabel di kawasan Jalan Pekan Batu 11,Balakong.

“Dalam kejadian tersebut, pihak polis telah melepaskan lima das tembakan ke arah tayar kenderaan suspek yang sedang bergerak serta cuba mencederakan anggota polis walaupun telah diarahkan untuk berhenti bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, polis berjaya membuat tangkapan terhadadap mereka yang disyaki terlibat jenayah.

“Pemeriksaan lanjut polis dalam kenderaan dinaiki suspek berjaya membawa kepada rampasan dua buah kenderaan suspek serta peralatan curi kabal bersama.

“Semakan lanjut polis mendapati kesemua suspek memiliki pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau,” ujarnya lagi.

Tegas beliau, polis mendapati tiada sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam insiden tersebut.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh yang boleh dijatuhkan penjara selama tempoh yang boleh sampai 10 tahun dan bolehlah juga dikenakan denda dan jika perbuatan itu menyebabkan cedera kepada seseorang boleh dikenakan penjara yang boleh sampai 20 tahun.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 379/511 kerana cubaan mencuri wayar kabel yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

“Polis daerah ini (Kajang) akan meneruskan operasi dan rondaan bagi mengekang kejadian jenayah dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung terus dengan balai polis yang berhampiran atau pegawai penyiasat kes Asisten Superintendan Mohd Afiq Farhan Mohd Nordi talian 012-2446768 bagi membantu siasatan lanjut kes.-MalaysiaGazette