Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Seorang bekas guru pendidikan jasmani kekal dihukum penjara tujuh tahun dengan satu sebatan oleh Mahkamah Rayuan, di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua pelajar berusia sembilan tahun di sebuah sekolah di Dungun, Terengganu.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim membuat keputusan sebulat suara selepas perayu, Tuan Sembok Tuan Puteh, 58, tidak berpuas hati terhadap sabitan dan hukuman dijatuhi Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

Dalam prosiding, Ahmad Zaidi berkata, hukuman bagi ketiga-tiga pertuduhan terhadap perayu yang berkuatkuasa 1 November 2022 itu tidak memerlukan campur tangan mahkamah.

“Dalam kes ini, mahkamah mendapati sabitan bagi kesemua pertuduhan itu adalah selamat serta bernasib baik kerana Timbalan Pendakwa Raya (TPR) tidak menfailkan rayuan silang berhubung hukuman.

“Kami juga mendapati, hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen (Kuala Terengganu) adalah rendah dan ia dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi. Berikutan, mahkamah menolak rayuan perayu dan mengekalkan sabitan serta hukuman sedia ada,” katanya.

Turut bersidang hari ini adalah Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azmi Ibrahim dan Hakim Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur, Datuk Noorin Badaruddin.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya, Eyu Ghim Siang  bertindak sebagai responden manakala perayu diwakili peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ketiga, Tuan Sembok didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan dengan memegang paha, punggung dan kemaluan mangsa, lima tahun lalu.

Perbuatan itu dilakukan di dua lokasi berbeza di tepi meja guru dan bilik rawatan sebuah sekolah di Felda Rasau di Dungun, Terengganu sekitar jam 10 pagi, antara 15 April dan 18 April 2019.

Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak tidak lebih 20 tahun dan boleh dihukum sebat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast