ALOR GAJAH – Sebanyak 655 aduan konflik manusia dan gajah direkodkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) di seluruh negara bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, ia melibatkan negeri Pahang, Kelantan, Terengganu, Perak dan Johor yang menjadi habitat mamalia besar itu.
“Secara keseluruhan bermula 2019 hingga 2023, kita menerima 3,929 aduan konflik manusia dan gajah yang turut melibatkan 21 kes serangan gajah ke atas manusia sejak 2019 hingga Jun lalu.
“Manakala sejak Januari hingga Jun tahun ini sahaja, 655 aduan diterima dan 60 operasi telah kita lakukan untuk mengatasi konflik dengan haiwan ini yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharan Hidupan Liar 2010 (Akta 719) di Semenanjung Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Sambutan Hari Gajah Sedunia oleh A’Famosa Safari sempena Hari Gajah Sedunia yang disambut pada 12 Ogos setiap tahun di Freeport A’ Famosa Outlet di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah Urusan Safari Wonderland Datuk Alex Lau Chir Nguan.
Mengulas lanjut Abdul Kadir berkata, ketika ini populasi gajah di Semenanjung Malaysia dianggarkan berjumlah antara 1,220 hingga 1,680 di tujuh buah negeri iaitu Kedah, Perak, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan Kelantan.
“Jumlah populasi itu kalau diikutkan masuk okay walaupun menurun jika hendak dibandingkan dengan lain-lain hidupan liar seperti populasi Harimau Malaya atau seladang.
“Antara punca berlakunya konflik manusia dan gajah ini adalah kerana kawasan habitatnya yang sudah semakin mengecil namun PERHILITAN telah melakukan pelbagai usaha untuk menanganinya,” katanya.
Jelas beliau, ini termasuklah menubuhkan pusat konservasi gajah di Pahang, Terengganu dan Johor, penggunaan kolar satelit pemasangan sistem pagar elektrik gajah (SPEG), dan papan tanda di jalan serta progam kesedaran awam.
“Selain itu, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam melalui kita juga telah mengendalikan inisiatif Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar (BKHT) bermula tahun ini.
“Ia melibatkan peruntukkan berjumlah RM10 juta sebagai pampasan kepada pekebun dan penternak yang menanggung kerugian fizikal dan harta benda akibat serangan hidupan liar termasuk gajah,” katanya.
Tambahnya, setakat ini PERHILITAN sudah menerima 95 permohonan BKHT dengan tuntutan berjumlah hampir RM343,000. – MalaysiaGazette