Logo Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR – Istilah ‘kafir harbi’ tidak boleh ditujukan kepada mana-mana golongan di sesebuah negara yang menghormati perlembagaan dan mematuhi undang-undang.

Perkara itu ditegaskan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook, hari ini.

Katanya, tindakan melabel seseorang warganegara dengan gelaran tersebut akan membawa implikasi buruk dan dahsyat kerana kafir harbi halal untuk diperangi, keamanan mereka tidak akan dijaga dan keselamatan harta benda mereka tidak akan dijamin.

Malah katanya, dalam konteks zaman sekarang, antara golongan yang termasuk kategori berkenaan ialah Zionis yang telah membunuh umat Islam dan merampas dan mengusir rakyat Palestin daripada tempat kediaman dan tanah air mereka.

“Dalam konteks di Malaysia, ada warganegaranya terdiri daripada kalangan bukan Islam, maka mereka jauh sekali untuk dimasukkan dalam kategori golongan kafir harbi. Hal ini kerana ia tidak menepati definisi dan tidak mencukupi ciri yang telah ditetapkan oleh para ulama.

“Oleh yang demikian, perbuatan melabelkan sebahagian daripada warganegara sesebuah negara dengan label sebegitu merupakan satu perbuatan yang ekstrem dan keterlaluan,” katanya.

Semalam, beberapa pemimpin Melayu DAP menuntut permohonan maaf susulan video tular memaparkan seorang individu menggelar parti itu ‘kafir harbi’ dalam sebuah ceramah sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada Khamis.

Bagaimanapun, Pengarah Operasi Perikatan Nasional (PN) bagi PRK DUN Nenggiri, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan individu berkenaan telah tersasul dan kini direhat bagi memastikan keadaan kembali tenang susulan kontroversi itu.

Pada masa sama, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, istilah ‘kafir harbi’ adalah dirujuk kepada golongan orang bukan Islam yang tiada jaminan perlindungan daripada orang Islam dan merupakan golongan yang memerangi Islam dan melakukan kejahatan ke atas mereka. – MalaysiaGazette