Exco Hal Ehwal Agama Islam, Dr Mohammad Fahmi Ngah.

KUALA LUMPUR – Polis diminta untuk segera memburu penjenayah yang mencederakan dua wanita dengan pisau di Surau Ehsaniah SS 5A, Kelana Jaya, semalam.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Dr Fahmi Ngah turut mengutuk sekeras-kerasnya tindakan penjenayah terbabit dan mahu supaya pelaku dihadap kemuka pengadilan.

Beliau turut berharap agar orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung insiden itu segera melaporkan kepada polis sekali gus membantu pihak berkuasa memberkas penjenayah terbabit.

“Saya telah memohon polis agar segera memburu penjenayah ini dan memaksimumkan segala bentuk tindakan undang-undang yang boleh dikenakan sekiranya didapati bersalah.

“Rumah ibadat dan sekolah wajib menjadi tempat yang selamat untuk setiap rakyat. Saya mendoakan agar mangsa diberikan afiyah dan kesembuhan segera,” katanya menerusi kenyataan.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar mengesahkan kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1.30 tengahari dan memaklumkan pihaknya sedang giat mengesan suspek terlibat.

Mangsa, seorang gadis berumur 20-an dan seorang ustazah, 50an, yang tercedera dalam kejadian itu dihantar ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut.

Menurut Shahrulnizam, pihak polis sedang mengenal pasti motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, seorang daripada ahli jawatankuasa surau berkenaan yang enggan dikenali berkata hasil rakaman kamera litar tertutup di surau itu diserahkan kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Polis buru suspek cederakan dua wanita di surau Kelana Jaya