Seorang wanita menangis di dalam sebuah sekolah yang digunakan sebagai tempat perlindungan sementara bagi penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal di Kota Gaza, selepas ia diserang Israel pada 10 Ogos 2024, yang mengorbankan lebih 90 orang. Foto AFP

ALGIERS – Algeria secara terbuka meminta sidang Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Selasa ini untuk membincangkan serangan Israel ke atas sebuah sekolah yang sepatutnya melindungi pelarian yang kehilangan tempat tinggal di  Gaza.

Permintaan Algeria, sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan, untuk mesyuarat tergempar itu “sebagai tindak balas kepada serangan udara yang dilakukan oleh tentera zionis ke atas sekolah Al-Tabin,” lapor agensi berita rasmi Algeria, memetik sumber diplomatik yang tidak dinamakan di New York.

Ia berkata, permintaan itu dibuat dalam rundingan dengan Palestin” dan “disokong oleh negara anggota Majlis Keselamatan yang lain.

Sekurang-kurangnya 100 orang terbunuh dan beberapa lagi cedera apabila pesawat Israel menyasarkan rakyat Palestin yang menunaikan solat subuh di Sekolah Al-Tabin di kawasan kejiranan Al-Daraj.

Dengan pengeboman sekolah itu, bilangan sekolah yang menjadi sasaran tentera Israel di Gaza City pada minggu lalu telah meningkat kepada enam.

Walaupun Mesir, Amerika Syarikat, dan Qatar mendesak supaya menghentikan permusuhan, laksanakan gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tebusan, Israel tetap meneruskan serangan mautnya terhadap Semenanjung Gaza.

Serangan Israel terhadap Gaza telah membunuh hampir 39,800 mangsa sejak Oktober.

Israel dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), yang mengarahkannya menghentikan serta-merta operasi ketenteraannya di bandar selatan Rafah, yang mana lebih 1 juta rakyat Palestin telah mencari perlindungan daripada perang sebelum ia diceroboh pada 6 Mei lalu. – Agensi