Datuk Rusdi Mohd Isa

KUALA LUMPUR – Pergaduhan sekumpulan individu di sebuah pusat hiburan di kawasan Pudu di sini mengundang padah apabila mereka diberkas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Komisioner Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya menerima laporan tentang kejadian itu kira-kira jam 3.45 pagi tadi.

“Polis menjumpai tiga butir kelongsong peluru dan dua butir peluru hidup di tempat kejadian tersebut.

“Akibat daripada pergaduhan itu, seramai empat lelaki warga tempatan berusia lingkungan 29 hingga 40 tahun cedera dipercayai disebabkan oleh senjata tajam dalam rusuhan tersebut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah beliau, kesemua yang tercedera telah mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Ampang.

Katanya, kesemua mangsa telah dibenarkan keluar dari hospital selepas menerima rawatan untuk kecederaan.

“Kesemua suspek itu kemudian ditahan oleh polis untuk membantu siasatan lanjut membabitkan insiden rusuhan di pusat hiburan itu.

“Semua tangkapan itu akan ditahan reman pada Ahad untuk membantu siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan,” ujarnya.

Tegas beliau, kes turut disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.

Polis Kuala Lumpur memberi amaran keras kepada orang ramai agar tidak
terlibat dengan sebarang kegiatan yang melanggari undang-undang.

“Sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian jenayah, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur ditalian 03-2115 9999.-MalaysiaGazette