Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia mengalu-alukan kenyataan bersama oleh pemimpin Amerika Syarikat (AS), Mesir dan Qatar pada 8 Ogos lalu yang menggariskan keperluan segera untuk memuktamadkan perjanjian gencatan senjata dan untuk membawa bantuan segera kepada penduduk Gaza.

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, secara prinsip, Malaysia sentiasa memperjuangkan keamanan dan kestabilan serta pematuhan kepada undang-undang antarabangsa.

Dalam konteks ini, katanya, Malaysia menyokong rundingan damai yang sedang dijalankan oleh AS, Mesir dan Qatar.

“Malaysia berharap perbincangan akan datang yang bakal diadakan pada 15 Ogos ini akan membuahkan hasil yang positif dan menghalang konflik yang semakin meruncing dan mencapai penyelesaian secara aman.

“Malaysia menggesa semua pihak untuk terus fokus, komited dan menghormati proses keamanan.

“Malaysia sekali lagi menuntut agar pembunuhan dan kekejaman dihentikan, gencatan senjata segera dan kekal dilaksanakan, bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa halangan ke Gaza, dan Palestin diterima sebagai ahli penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” demikian menurut kenyataan itu hari ini.

Wisma Putra menambah, sokongan teguh dan solidariti Malaysia dengan rakyat Palestin tidak berbelah-bahagi.

Katanya, ini termasuk terhadap hak mereka untuk menentukan nasib sendiri, dan penubuhan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast