KUALA LUMPUR – Agensi Pemguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kemaman masih mengesan dan mencari dua lagi mangsa yang masih hilang selepas bot nelayan yang dinaiki karam dilanggar tongkang sewaktu bersauh sekitar 8 batu nautika timur Kuala Kemaman awal pagi tadi.

Lima mangsa telah berjaya ditemui dan diselamatkan manakala satu mayat mangsa ditemui oleh bot nelayan sewaktu melalui kawasan terbabit.

Bot nelayan tempatan bersama dua awak- awak termasuk tekong dan tujuh pemancing disyaki telah dilanggar tongkang sewaktu bersauh sekitar jam 6 pagi tadi.

Pelanggaran itu menyebabkan bot yang disewa oleh tujuh pemancing itu rosak teruk.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Ariffin Ghazali berkata, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) telah diaktifkan pada pukul 8.40 pagi tadi dan Pangkalan Hadapan CARILAMAT turut telah dibuka di Jeti Hj Pa.

“Bot Penggalang 17 telah diaturgerak ke tempat kejadian manakala pesawat udara Maritim Malaysia sedang diaturgerak untuk melaksanakan pencarian melalui udara di sekitar kawasan kejadian,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Tambah beliau, operasi itu turut disertai oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Persatuan Nelayan Kawasan Kemaman.

Maritim Malaysia meminta komuniti maritim berhampiran untuk segera menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kemaman di talian 011-13390521 atau talian kecemasan NG999 sekiranya mempunyai sebarang maklumat barkaitan sebarang penemuan bagi membantu CARILAMAT yang dilaksanakan. – MalaysiaGazette

Bot karam: Seorang wanita lemas, tiga lagi hilang