Raja Zarith Sofiah menerima Watikah Perisyitiharan Pelanjutan daripada Dr Zambry Abd Kadir di Istana Negara.

KUALA LUMPUR – Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah telah dilantik semula sebagai Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkuat kuasa 1 Jun 2024 sehingga 31 Mei 2031.

Watikah Perisyitiharan Pelanjutan telah dipersembahkan kepada baginda oleh Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pengajian Tinggi semasa beliau diterima mengadap di Istana Negara, semalam.

Raja Zarith Sofiah telah menjadi Canselor UTM sejak tahun 2010 dan sudah menyumbang pelbagai jasa bermakna kepada universiti itu sama ada dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.

Minat yang mendalam untuk bidang akademik serta keprihatinan yang tinggi bagi menggerakkan usaha UTM membantu golongan yang memerlukan (terutamanya masyarakat B40) adalah ciri utama peranan baginda selaku Canselor.

Raja Permaisuri Agong telah mengilhamkan Program Bangsa Johor Bahagia (BJB) bagi membantu komuniti kurang berkemampuan melalui pelbagai inisiatif dengan penglibatan tenaga kerja serta siswazah UTM.

Baginda turut melancarkan Tabung Canselor “Because We Care” untuk menyalurkan bantuan kebajikan serta makanan untuk siswazah B40.

Raja Zarith Sofiah juga aktif menggiatkan dialog intelektual yang dapat dilihat melalui program yang dipelopori Raja Zarith Sofiah Centre for Advanced Studies on Islam, Science and Civilisation (RZS-CASIS) serta siri “Royal Intellectual Forum” yang mula dianjurkan di UTM oleh Akademi Tamadun Islam (ATI) sejak tahun 2022.

Baginda juga telah diberi penghormatan untuk menyampaikan ucaptama di persidangan meja bulat anjuran UTM dan Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS) di Oxford, United Kingdom dengan tajuk “Imagining the Future: Climate Change, Health and Food Security in Muslim Societies”.

Persidangan berkenaan yang disertai pakar-pakar perubahan iklim, kesihatan serta keterjaminan makanan antarabangsa telah mengupas pelbagai isu yang dihadapi masyarakat Islam seluruh dunia berhubung tiga perkara tersebut. – MalaysiaGazette