KUALA LUMPUR – Gabungan Nasionalis (GN) membantah  cadangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang ingin meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata, cadangan ratifikasi ICERD boleh menggugat kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak yang dijamin di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Malah, katanya ia juga boleh menimbulkan ancaman terhadap keharmonian kaum dan kestabilan negara.

“ICERD berpotensi menghapuskan hak-hak istimewa Bumiputera dan boleh membawa kepada penghapusan institusi-institusi yang selama ini menjadi tonggak kepada kedudukan orang Melayu seperti MARA, UiTM, dan Askar Regimen Melayu,” katanya pada siang media, di sini, hari ini.

Pada 8 Ogos lalu, Pengerusi Suhakam, Hishamudin Yunus dalam berharap Malaysia akan mempertimbangkan ratifikasi ICERD.

Menurut Aminuddin, GN turut bimbang penerimaan ICERD akan memaksa Malaysia menyesuaikan dasar-dasar tempatan dengan undang-undang antarabangsa yang mungkin tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Tambah beliau, menyifatkan cadangan tersebut bertentangan dengan fungsi dan kuasa yang diperuntukkan kepada mereka di bawah Akta Suhakam 1999.

Berikutan itu, beliau meminta Suhakam lebih prihatin terhadap kehendak rakyat Malaysia yang secara majoritinya menolak ICERD.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hasan Syed Ali berkata, ICERD sangat bertentangan dengan Perlembagaan Perksekutuan kerana hak-hak kaum di Malaysia ditindas.

“Melalui ICERD, kuota jawatan sama rata diberikan termasuk puak LGBT. Puak LGBT wajib diletakkan dalam mana-mana agensi dan hal ini mengarut dan tak sesuai dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sidang medua yang sama.

Presiden Persatuan Dunia Seni Silat Melayu Malaysia, Roslin Abu memberitahu, ICERD merupakan penjajahan cara baharu di Malaysia.

“Malaysia tiada masalah hak asasi. Siapa yang tertindas di Tanah Melayu hari ini? Yang paling tertindas adalah orang Melayu. Ini merupakan tektik baharu untuk mengubah pemikiran kita sedangkan barat menolak isu ICERD ini. Malahan, negara Israel menolak,” ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Ikatan Muslimin Malaysia, Shuhaib Ar-Rumy menjelaskan, ICERD merupakan ancaman kepada agama Islam.

Menurutnya, keharmonian beragama dan bertoleransi akan terganggu kerana rakyat Malaysia dilindungi baik oleh Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menegaskan, Pengerusi Suhakam yang juga merupakan bekas hakim tidak sepatut menimbulkan isu itu  – MalaysiaGazette