Tian Soon (kanan) merasmikan program Modal Insan Latihan MTLS di Iskandar Puteri, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Hospital Pasir Gudang yang sedang dibina dijangka siap dua bulan lebih awal dan beroperasi secara berperingkat mulai Februari depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, perkembangan terkini proses pembinaan hospital berkenaan adalah 60 hari awal daripada jadual yang ditetapkan.

“Apabila pembinaan dapat diselesaikan hujung tahun ini akan dapat diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya kepada pemberita Selepas menyempurnakan program Modal Insan Latihan MTLS di sini hari ini.

Pada Jun lalu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, hospital terbabit dijangka dapat beroeprasi sepenuhnya pada April ekoran pembinaan lancar.

Hospital Pasir Gudang dibangunkan di Bandar Seri Alam, Masai di kawasan berkeluasan 20.6 hektar itu antaranya dilengkapi dengan fasiliti 304 katil, 14 perkhidmatan pakar, lapan bilik pembedahan, 65 bilik konsultasi rawatan pesakit luar, rumah mayat, farmasi pandu lalu dan lebih 1,000 ruang parkir.

Hospital yang bernilai RM375.7 juta hanya berjarak 19 kilometer (km) dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan 12 km dari Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru dapat meningkatkan kapasiti bagi mengurangkan kesesakan pesakit di kedua-dua hospital kerajaan itu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast