SHAYKH-UL-ISLAM Dr. Muhammad Tahir-ul-Qadri, pemimpin pengasas Minhaj-ul-Qur’an International (MQI) diiktiraf secara meluas atas usahanya dalam mempromosikan keamanan, keharmonian, dan kebangkitan semula amalan kerohanian berdasarkan ajaran Islam yang autentik.
Dengan cawangan dan pusat di lebih 90 negara, MQI adalah sebuah organisasi global berdedikasi memupuk keamanan antara komuniti dan pencerahan rohani.
Ditubuhkan pada tahun 1981, Minhaj-ul-Qur’an muncul sebagai salah satu organisasi bukan kerajaan terbesar di dunia, dengan pelbagai aktiviti yang merangkumi pendidikan, perkhidmatan sosial, budaya, dan kerohanian.
Selain daripada MQI, Dr. Tahir-ul-Qadri telah menubuhkan Minhaj University Lahore, sebuah institusi bertauliah kerajaan yang menyediakan pendidikan tinggi kepada ribuan pelajar dalam pelbagai disiplin, termasuk sains asas, moden, sosial, pengurusan, dan keagamaan.
Beliau juga menubuhkan Minhaj Education Society yang telah menubuhkan lebih 610 sekolah dan kolej di Pakistan serta Minhaj Welfare Foundation, sebuah organisasi kemanusiaan global.
Melalui platform-platform ini dan lain-lain seperti Minhaj-ul-Quran Ulama Council, Minhaj-ul-Quran Women League, Minhaj Youth League, Mustafavi Students Movement, dan Muslim Christian Dialogue Forum, Dr. Tahir-ul-Qadri telah memberikan sumbangan yang signifikan kepada landskap pendidikan dan sosial.
Seorang penulis dan penyelidik prolifik, Dr. Tahir-ul-Qadri telah menerbitkan 640 buku yang paling terkenal adalah Fatwa on Terrorism and Suicide Bombing – sebuah karya setebal 512 halaman yang pertama kali diterbitkan di London pada tahun 2010.
Buku ini secara tegas menyatakan tiada justifikasi untuk keganasan atas nama Islam.
Dengan memetik secara meluas dari al-Qur’an dan Hadis, Dr. Tahir-ul-Qadri memberikan hujah yang meyakinkan menentang semua bentuk keganasan atas nama Islam dengan berkesan menangkis justifikasi untuk pengeboman berani mati yang ditawarkan oleh ideolog ekstremis.
Berdasarkan pengetahuannya yang mendalam tentang kehidupan dan ajaran Nabi Muhammad dan 14 abad kesarjanaan Islam, fatwa Dr. Tahir-ul-Qadri meruntuhkan hujah teologi yang digunakan oleh pengganas yang membakar ideologi ekstremis tempatan masa kini.
Buku ini telah menerima pujian meluas termasuk pujian daripada Prof. John Esposito dari Universiti Georgetown, Dr. Joel Hayward dari Kolej Tentera Udara Diraja di UK, dan Universiti Al-Azhar di Mesir.
Pada Sabtu lalu, Dr. Tahir-ul-Qadri sepatutnya menyampaikan syarahan pada sesi Meet and Greet yang dianjurkan oleh Minhaj-ul-Quran International Malaysia di Hotel Premiera Kuala Lumpur.
Acara tersebut adalah bersempena dengan pelancaran dua karya penting beliau, Fatwa on Terrorism and Suicide Bombing dan A Real Sketch of the Prophet Muhammad dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia.
Bagaimanapun disebabkan masalah penerbangan dari Australia, di mana beliau sebelumnya mengadakan satu jelajah di Melbourne, Brisbane dan Sydney, Dr. Tahir-ul-Qadri tidak dapat hadir.
Ekoran ketiadaan beliau, hadirin disajikan dengan syarahan oleh dua anak lelakinya, Prof. Dr. Hussain Mohi-ud-Din Qadri, Presiden Minhaj-ul-Quran International dan Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah di Minhaj University Lahore, dan Dr. Hassan Mohiuddin Qadri, Pengerusi Majlis Tertinggi Minhaj-ul-Quran International.
Prof. Dr. Hussain Qadri memukau hadirin dengan syarahannya yang bertajuk The Standardization in Islamic Banking and Financial Systems.
Beliau menekankan keperluan untuk pendekatan bersatu dalam kewangan Islam, menangani cabaran yang ditimbulkan oleh kekurangan standardisasi di seluruh negara dan mazhab dalam Ummah Muslim.
Dr. Hussain Qadri menegaskan tafsiran fiqh yang berbeza-beza sering membawa kepada variasi ketara dalam produk kewangan Islam, yang memberi kesan kepada daya saing mereka dengan sistem kewangan konvensional.
Untuk menangani perkara itu, Dr. Hussain Qadri mencadangkan penubuhan waqaf bersama Muslim sebagai alternatif kepada institusi seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Paris Club.
Ini akan menyediakan sokongan kewangan dan ekonomi kepada negara-negara Islam di bawah naungan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Beliau menekankan kepentingan kerjasama di antara ulama dari pelbagai mazhab Islam untuk menangani kebimbangan bersama dan menyeragamkan amalan kewangan.
Syarahan Dr. Hassan Qadri yang bertajuk The Constitution and Systems of the State of Medina pula memberi tumpuan kepada kepentingan sejarah dan kontemporari Perlembagaan Madinah, perlembagaan bertulis pertama di dunia.
Beliau berpendapat piawaian dan peraturan perlembagaan moden mencerminkan kualiti penting yang terdapat dalam Perlembagaan Madinah.
Dr. Hassan Qadri mengesahkan Perlembagaan Madinah melalui 62 artikel merujuk kepada 26 ayat al-Qur’an dan 75 hingga 80 Hadis Sahih Nabi Muhammad SAW.
Beliau menjelaskan apabila tiba di Madinah, Nabi Muhammad SAW mengutamakan penyelesaian pertikaian tempatan, meningkatkan urusan pentadbiran dan mewujudkan rangka kerja untuk negara yang aman dan bekerjasama.
Dr. Hassan Qadri menekankan Perlembagaan Madinah adalah dokumen perintis yang bertujuan untuk mencapai keamanan dan kelangsungan bersama di kalangan pelbagai kumpulan agama dan budaya.
Ia mengandungi nilai-nilai universal, memastikan perlindungan menyeluruh terhadap hak asasi manusia dan menetapkan prinsip keadilan, kesaksamaan dan kebebasan yang penting untuk pembangunan masyarakat yang adil.
Beliau merumuskan Perlembagaan Madinah kekal sebagai dokumen penting dalam tamadun manusia, yang menjadi asas kepada perkembangan perlembagaan pada masa hadapan.
Melalui syarahan-syarahan ini hadirin dapat melihat kekuatan intelektual Dr. Hussain Qadri yang memiliki PhD dalam bidang ekonomi dari Victoria University, Melbourne, dengan tesis bertajuk An Analysis of Trade Flows Among the Economic Cooperation Organization (ECO) Member Countries and Potential for a Free Trade Area dan Dr. Hassan Qadri, yang memiliki PhD dalam bidang undang-undang dari Arab League University, Mesir, dengan tesis bertajuk The Constitution of Medina and Modern Constitutional Principles: A Comparative Study of American, British & European Constitutional Laws.
Menariknya, kedua-dua mereka merupakan pentadbir dan pensyarah di Minhaj University Lahore (MUL), sebuah universiti swasta yang menawarkan pendidikan tinggi dalam pelbagai disiplin yang diasaskan oleh bapa mereka pada tahun 1986.
MUL sejak penglibatan mereka, telah berkembang pesat dengan 11 fakulti, 36 sekolah, 150 program, dan 25,000 alumni.
Selain itu, MUL juga mempunyai Fakulti Adjung Antarabangsa, yang ahlinya termasuklah Prof. Dr. Rohan Gunaratna dari Singapura, Dr. Tito Karnavian dari Indonesia, Dr. Ahmad El-Muhammady dari Malaysia, dan Dr. Jan Ashik Ali dari Australia dalam bidang Pengajian Keamanan dan Anti-Keganasan.
Perjalanan akademik Prof. Dr. Hussain Qadri khususnya amat mengagumkan, dengan ijazah sarjana muda dari York University, Toronto, dalam bidang ekonomi dan sains politik, ijazah sarjana dalam bidang pentadbiran perniagaan dari Sciences Po di Paris, dan PhD dalam bidang ekonomi dari Victoria University, Melbourne.
Di bawah kepimpinan beliau, MUL telah merintis beberapa jabatan unik termasuk Sekolah Pengajian Keamanan dan Anti-Keganasan, menjadikannya universiti pertama di Pakistan yang menubuhkan jabatan yang tertumpu kepada kajian anti-keganasan dan Sekolah Pengajian Agama dan Falsafah yang menyediakan peluang yang sama untuk mengkaji teologi kepada penganut semua agama di Pakistan.
Sekolah Ekonomi Islam, Perbankan dan Kewangan MUL juga telah muncul sebagai institusi terkemuka dalam bidang ekonomi dan kewangan Islam di Pakistan. Pusat Penyelidikan Antarabangsa dalam Ekonomi Islam (ICRIE) universiti ini setiap tahun menganjurkan persidangan akademik terbesar dan paling terkenal di Pakistan untuk mempromosikan ekonomi Islam.
Pada tahun 2018, Dr. Hussain Qadri menubuhkan Minhaj Halal Certification untuk mempromosikan etika dan standard perniagaan serta industri halal di Pakistan. Beliau juga menubuhkan Al-Mawakhat Islamic Microfinance pada tahun 2014, sebuah perusahaan sosial yang bertujuan untuk mengurangkan kemiskinan dan menangani pengangguran melalui produk mikro kewangan tanpa faedah.
Bersama-sama, adik-beradik Qadri bersekali dengan bapa mereka yang sedia terkenal dengan cepat telah memikat hati rakyat Malaysia dengan kecerdasan dan mesej keamanan, keharmonian dan perpaduan seterusnya meninggalkan kesan kekal di rantau ini.
Dr. Kamarul Zaman Yusoff adalah seorang Felo Penasihat di The Future Research (FUTURE) Malaysia