Mohd Yusof menafikan suspek merupakan bekas kekasih isterinya dan menunjukkan laporan berita mengatakan cikgu Istiqomah dibunuh bekas teman lelaki, ketika ditemui di rumahnya di Taman Kota Masai, Pasir Gudang, hari ini

PASIR GUDANG – Keluarga kepada guru wanita, Istiqomah Ahmad Rozi, 33, yang dibunuh kejam dengan kepala dipenggal, kedua-dua tangan dan kaki dipotong di Alor Gajah, Melaka, Disember lalu, menafikan suspek adalah bekas teman lelaki mangsa.

Suami mangsa, Mohd Yusof Mokhtar, 35, berkata, suspek hanya rakan niaga arwah dan dakwaan itu telah menimbulkan tanggapan buruk terhadap isterinya.

“Saya harap perkara ini dapat diperbetulkan kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan. Dia bukan bekas teman lelaki, dia hanya rakan berniaga.

“Polis yang menjalankan siasatan juga menasihati kami juga tidak mendengar (dakwaan) pihak lain.

“Kami difahamkan mereka berhubung berkaitan perniagaan dan bukan atas tujuan lain,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Kota Masai, di sini hari ini.

Dia yang bekerja kilang di sini berkata, keluarganya bagaimanapun menyerahkan kes itu kepada polis supaya suspek diheret ke muka pengadilan.

Artikel berkaitanMayat tanpa kepala, kaki, tangan dipotong disahkan milik Cikgu Istiqomah

Keluarga Cikgu Istiqomah tuntut keadilan, hukuman setimpal

Penggal kepala Cikgu Istiqomah: Bekas kekasih direman 7 hari

Pada masa sama, bapa kepada tiga anak itu mahu keluarga mereka diberi ruang untuk bertenang kerana masih terkejut dengan apa yang berlaku terhadap arwah.

“Kami tidak sangka dia sudah tiada, kami melakukan pelbagai usaha bagi menjejakinya sebelum ini,” katanya.

Pada 26 Disember lalu, guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Masai 3, itu tidak
pulang ke rumah selepas keluar bekerja.

Sehari selepas itu, laporan berhubung kehilangannya diterima polis dan kemudian kereta milik arwah ditemui di sebuah pasar raya terkemuka di bandar raya ini.

Pada 28 Disember, berita mengenai kehilangan Istiqomah mula tular dan
Mohd Yusof menyatakan sudah mengusahakan pelbagai cara untuk mengesan isterinya termasuk mendapatkan khidmat perubatan Islam.

Pada 6 Januari lalu, media melaporkan seorang wanita dibunuh dengan kejam apabila bahagian badannya ditemui disumbat dalam tong sampah dan dibuang dalam longkang di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, Alor Gajah, pada 31 Disember lalu namun identiti masih belum diketahui.

Pada 12 Ogos lalu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah mengesahkan mayat tanpa kepala, badan dan tangan yang ditemui dalam tong sampah pada 31 Disember lalu itu adalah milik Istiqomah.- MalaysiaGazette

Mayat wanita bogel tanpa kepala, kaki, tangan ditemui dalam tong sampah