Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari bersama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Lau Weng San serta Ahli Dewan Undangan Negeri yang lain bergambar selepas penggal ke-15 pada Mesyuarat Pertama (Angkat Sumpah) Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Ke-15 di Dewan Negeri Selangor, SUK Selangor, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 19 SEPTEMBER 2023.

SHAH ALAM – Terdapat kemungkinan rombakan Exco Selangor dilakukan pada hujung bulan ini atau September.

Menurut sumber, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, sedang mempertimbangkan cadangan untuk menggantikan dua orang Exco yang dipercayai daripada PKR dan DAP.

“Untuk PKR, kita sudah mempunyai dua calon iaitu ADUN Lembah Jaya dan seorang ADUN Pelabuhan Klang. Salah seorang daripada mereka akan diberi peluang memegang jawatan Exco.

“Bagi DAP pula, salah seorang Exco sedia ada mungkin akan digantikan dengan ADUN DAP yang lebih senior dan berpengalaman. Namun, keputusan akhir masih menunggu persetujuan daripada kepimpinan tertinggi parti DAP,” katanya.

Rombakan ini, menurut sumber, lebih kepada pertukaran jawatan setelah kerajaan negeri Selangor menerajui pentadbiran selama setahun selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.

“Pertukaran ini bukanlah disebabkan Exco yang bakal diganti tidak menjalankan tugas dengan baik, tetapi lebih kepada usaha untuk meningkatkan kecekapan dan memberikan peluang kepada mereka yang lebih berpengalaman dalam kepimpinan kerajaan negeri,” ujarnya.

Difahamkan, rombakan ini juga mungkin berkait rapat dengan pemilihan parti DAP dan PKR akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast