Tangkap layar menunjukkan ratusan penunggang motosikal melawan arus di BORR, Pulau Pinang.

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran supaya menetapkan undang-undang bagi melarang pembelian motosikal tanpa lessen sebagai langkah untuk menangani nahas jalan raya dalam kalangan penunggang.

Aktivis keselamatan jalan raya, Shahrim Tamrin berkata, sudah tiba masanya kerajaan menggubal undang-undang baharu dengan tidak membenarkan mereka yang tiada lesen memandu atau menunggang dari membeli motosikal ‘underbone’ atau ‘kapcai’ dari 100cc sehingga 185cc.

“Saya difahamkan bahawa Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang dalam proses merangka satu undang-undang baru berkaitan pembelian motosikal oleh golongan tiada lesen menunggang dan saya menggesa agar draf undang-undang ini dipercepatkan untuk pembentangan di Dewan Rakyat,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau mendakwa, ini kerana terdapat ‘amalan’ penjualan motosikal tanpa lesen melibatkan kalangan bawah umur.

“Amalan ini sudah lama berlaku tanpa kawalan dan mengakibatkan ramai pembeli tiada lesen memandu atau menunggang terus menunggang motosikal tanpa lesen kerana beranggapan sudah mahir mengendali motosikal.

“Ini juga berlaku kepada golongan mampu membeli motosikal berkuasa besar 250cc dan 500cc ke atas tanpa dikesan oleh pihak berkuasa.

“Ini kerap berlaku di kalangan ibu bapa tiada lesen menunggang dengan membelikan motosikal ‘kapcai’ untuk anak-anak mereka sebagai kenderaan pergi ke sekolah dan menyebabkan ramai remaja tidak arif selok-belok peraturan lalulintas dan sering terlibat dalam nahas jalan raya,” katanya.

Selain itu, beliau turut menggesa Kementerian Pengangkutan memperkenalkan kategori lesen B3 motosikal bagi motosikal berkuasa rendah 70cc untuk golongan remaja dan dewasa dari 16 hingga 25 tahun.

Katanya, pada 8 Oktober 2019, pihak polis mencadangkan perkara berkenaan sebagai langkah menyelesaikan masalah ‘rempit’ namun ia tidak dilanjutkan sehingga kini.

“PDRM mencadangkan usul itu Ketika Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) di Sepang iaitu untuk membentuk satu budaya bermotosikal baru agar golongan remaja tidak lagi menunggang kapcai 100cc hingga 185cc yang semakin laju dan lincah mampu capai kelajuan antara 140 km/j sehingga 160km/j.

“Namun, usul Perkara 9.4 mengikut minit MAT MKJR dipandang sepi oleh Kementerian Pengangkutan dan JPJ sehingga ke hari ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Shahrim berkata, kerajaan perlu serius dan bersungguh-sungguh membasmi masalah rempit samseng jalanan yang turut mengakibatkan kematian di jalan raya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan menzahirkan kebimbangan terhadap kadar kemalangan tinggi dalam kalangan pengguna motosikal yang berkait dengan kelemahan penguatkuasaan undang-undang selain isu penyelenggaraan jalan raya.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Perdana Menteri berkata, kebimbangan sama turut dizahirkan oleh Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, dalam pertemuan mereka. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. sudah 2024 , negara sudah 67 tahun merdeka, tak kan nak gubal undang² kena tunggu 5 ke 10 tahun lagi.

  2. Mesti ada lesen baru boleh beli motosikal. Sampai bila nak tunggu undang² digubal. 10 atau 20 tahun lagi. Malaysia dah 67 tahun merdeka. undang² yg remeh begitu pun kena tunggu ke.

Comments are closed.