KUALA LUMPUR – Orang ramai diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan panggilan palsu atau scammer yang menggunakan nama Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman.
Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali berkata, ini kerana pihaknya telah mengesan kewujudan yang menggunakan nama pasukan itu bagi mengaut keuntungan.
“Ini termasuklah kegiatan yang dilakukan sindiket penipuan serta pengamal undang-undang.
“Baru-baru ini ada kes scammer guna nama AMLA perdaya pasangan suami isteri hingga rugi RM120,000.
“Kita juga kesan ada mengiklankan di Facebook dengan menawarkan khidmat kononnya untuk menyelesaikan kes babit AMLA,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ, di sini, hari ini.
Tegas beliau, sekiranya masyarakat meragui atau was-was apabila dihubungi individu mendakwa sebagai pegawai AMLA, boleh merujuk perkara itu kepada pihak polis untuk pengesahan dengan menghubungi di talian 03-26101430.
“Saya tekankan dan orang ramai jangan mudah terpengaruh dengan pihak yang ambil kesempatan atas kesempitan.
“Kita tidak berkompromi dan tidak mahu orang ramai alami kerugian kerana terpengaruh dan terpedaya dengan modus operandi penipuan ini,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya juga telah mengesan beberapa individu yang menggunakan nama AMLA untuk aktiviti yang tidak betul. – MalaysiaGazette