Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan sejumlah 8.6 juta ahli aktif, yang kini mewakili 50% daripada 17.15 juta tenaga buruh Malaysia.

Pendaftaran majikan baharu yang direkodkan dalam tempoh tersebut ialah 37,284, menjadikan jumlah majikan aktif berdaftar dengan KWSP kepada 610,357.

Jumlah caruman yang diterima meningkat daripada RM50.48 bilion pada 2023 kepada RM57.35 billion pada separuh pertama (1H) 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pada 1H 2024, KWSP mencatatkan pertumbuhan 39% dalam jumlah pencarum sukarela kepada 742,556 daripada 535,307 pada tempoh sama 2023.

Jumlah caruman sukarela ialah RM7.51 bilion pada 1H 2024, meningkat 91% daripada terkumpul RM3.93 bilion tempoh yang sama tahun lepas.

Pasaran buruh Malaysia yang berdaya tahan menyumbang kepada penurunan kadar pengangguran daripada 3.5% pada suku kedua (S2) 2023, kepada 3.3% tempoh sama tahun ini.

Pada 1H 2024, KWSP menyaksikan 235,032 pendaftaran ahli baharu, menjadikan jumlah keahlian kepada 16.0 juta.

Sementara itu, bilangan ahli sektor formal yang memilih untuk menyumbang lebih daripada kadar berkanun 3 ialah 27,121 pada 1H 2024, berbanding 38,893 pada 1H 2023.

“Dengan memberikan sokongan kepada rakyat Malaysia seawal usia 14 tahun, KWSP bertekad dalam tujuannya untuk membina jaminan pendapatan persaraan dan menaikkan generasi akan datang.

“Komitmen ini sejajar dengan inisiatif “Raise the Floor” yang digariskan dalam rangka kerja Ekonomi Madani bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat Malaysia,” kata Ahmad Zulqarnain.

“Sejajar dengan itu, pelaburan strategik KWSP, yang berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA) dan disokong oleh pengawasan pelaburan yang proaktif, direka untuk memberikan impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar,” katanya.

Pendekatan ini memastikan semua kepentingan terbaik pihak berkepentingan dipertimbangkan manakala KWSP terus memaksimumkan pulangan terlaras risiko peringkat portfolionya.”

Skim i-Saraan KWSP terus mencatat perkembangan dalam menyediakan jaminan pendapatan persaraan untuk rakyat Malaysia dalam sektor tidak formal dan gig, serta mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

Sepanjang separuh pertama 2024, i-Saraan mencatatkan jumlah caruman RM1.61 bilion daripada 330,196 pencarum, mencerminkan peningkatan 103% daripada RM789.3 juta dan peningkatan 56% daripada 211,361 pencarum dalam tempoh yang sama pada 2023.

Ahmad Zulqarnain berkata, usaha program outreach KWSP dan kempen berterusan untuk meningkatkan simpanan ahli telah meningkatkan penyertaan dalam program i-Saraan dan caruman sukarela dengan ketara.

Mengulas mengenai prospek ekonomi, beliau menambah, potensi pertumbuhan Malaysia, didorong oleh pasaran buruh yang sihat, dasar kerajaan yang menggalakkan dan kitaran teknologi global.

“Tinjauan ekonomi Malaysia dilihat kekal positif. Unjuran Bank Negara Malaysia bagi pertumbuhan setahun penuh antara 4% dan 5% dalam keadaan inflasi sederhana pada purata antara 2% dan 3.5%, menyokong iklim pelaburan yang positif,” tambah beliau.

Manakala landskap ekonomi global diunjurkan kekal stabil pada 2024, dengan lebih banyak bank pusat dijangka mula melonggarkan dasar monetari pada separuh kedua tahun ini apabila inflasi terus berkurangan.

Bagaimanapun, beliau berkata, KWSP kekal berwaspada kerana unjuran terus dibebani oleh risiko seperti inflasi yang berterusan, kelembapan pertumbuhan yang lebih mendadak daripada jangkaan, ketidaktentuan sekitar pilihan raya Amerika Syarikat (AS) dan dasar ekonomi, kemelut sektor hartanah China dan pemulihan ekonomi yang lemah, dan ketegangan geopolitik yang berterusan. – MalaysiaGazette