KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjangkakan kes pecah amanah melibatkan peguam akan meningkat pada tahun ini.
Ia susulan 27 kes direkodkan sehingga Julai lalu dengan jumlah kerugian lebih RM20.3 juta, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.
“Sepanjang 2022, sejumlah 29 kes telah disiasat melibatkan nilai kerugian lebih RM13 juta. Bagi 2023 pula, jumlah kes ini terus bertambah kepada 31 kes dengan nilai kerugian RM33.34 juta. Kita jangka jumlah kes ini akan terus meningkat.
“Justeru, mana-mana pihak yang berurusan dengan pihak peguam khususnya melibatan amaun yang besar disarankan untuk sentiasa menyemak keberadaan wang tersebut agar kes sebegini dapat dielakkan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ramli turut memaklumkan JSJK sedang menjalankan dua lagi kes berkaitan pecah amanah jenayah melibatkan peguam yang berlaku di Selangor dan Johor.
Menurutnya, satu laporan polis telah diterima di Selangor pada 8 Ogos lalu daripada seorang lelaki berusia 72 tahun didakwa telah ditipu sebuah firma guaman di Kuala Lumpur .
Katanya, pengadu yang juga seorang pesara sebuah syarikat swasta telah melantik firma guaman tersebut bagi menguruskan perihal penjualan tanah miliknya pada tahun 2023.
“Pada 14 Mac 2024, satu perjanjian telah ditandatangani antara pengadu dan pembeli bagi urusan penjualan tanah yang berkeluasan 518 meter persegi di Johor pada harga RM140,000.
“Pada 20 Jun lalu, pembeli telah memperoleh kelulusan pinjaman daripada institusi kewangan dan jumlah itu telah dibayar ke akaun klien firman guaman yang dilantik pengadu.
“Selepas sebulan, pengadu membuat laporan polis kerana tidak menerima bayaran dan lebih malang, cek yang diterima dua kali dari peguam terbabit ditolak atas alasan terdapat pindaan pada cek tersebut,” jelasnya.
Sementara kes di Johor pula, satu laporan telah dibuat oleh seorang lelaki berusia 51 tahun didakwa ditipu atas urusan pengendalian bayaran yuran perkhidatan syarikat.
Jelas Ramli, pengadu merupakan seorang perunding perumahan telah melantik sebuah syarikat firma guaman sebagai pemegang taruh bagi penerimaan fi perkhidmatan semua pelanggan syarikatnya pada tahun 2013.
“Untuk tujuan itu, satu akaun Maybank telah dibuat atas firma guaman terbabit dan kesemua wang diterima daripada pelanggan yang jumlah RM833,473.75 telah dimasukkan ke akaun tersebut.
“Pada Jun lalu, pengadu telah mengemukan tuntutan kepada firma guaman itu untuk menyerahkan wang tersebut namun mereka gagal berbuat demikian.
“Sebulan kemudian, pengadu bertemu dengan peguam itu namun wang tersebut dikatakan telah digunakan untuk membayar rumahnya dari dilelong. Namun hasil semakan pengadu mendapati wang tersebut dipercayai digunakan bagi kepentingan peribadi peguam terbabit,” ujarnya.
Tambah Ramli, berikutan itu, kedua-dua kes terbabit sedang disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Walaupun jumlah kes pecah peguam kecil jika dibandingkan dengan yang berdaftar namun nilai kerugian direkodkan bagi setiap satu kes amat besar.
“Saya konsisten dengan cadangan untuk mewujudkan dua penandatangan bagi akaun pelanggan yang dibuka. Ini bertujuan memberikan akses kepada pelanggan dalam menyemak keberadaan wang milik mereka.
“Bagaimanapun, saya menyerahkan perkara ini kepada kebijaksanaan pihak Majlis Peguam Malaysia untuk mengkaji sebarang kelemahan yang mungkin wujud dalam pengedndalian akaun amanah pelanggan oleh firma guaman,” tegasnya. – MalaysiaGazette