Cameron Highlands, Pahang.

KUANTAN – Kerajaan Pahang bersama Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) kini dalam usaha membuat Kajian Penyelesaian Kesesakan Lalu Lintas Daerah Cameron Highlands.

Exco Kerja Raya Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Ir Razali Kassim berkata, kajian itu dijalankan selama sembilan bulan dan telah dimulakan pada 1 Januari lalu sehingga 30 September ini.

Kajian tersebut  diterajui oleh pihak Highway & Transportation Research Group, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Exco Kerja Raya Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Ir Razali Kassim

“Ia antaranya mengumpul dan menganalisa data lalu lintas bagi mengenal pasti isu dan  masalah berkaitan kesesakan. Selain itu kajian itu menyemak kesesuaian cadangan pembangunan infrastruktur jalan dari kajian terdahulu,’’ katanya ketika ditemui hari ini.

Selain itu, Razali berkata, kerajaan negeri mencari kaedah dan pendekatan penyelesaian masalah kesesakan lalu lintas yang menjadi masalah di kawasan pelancongan itu.

Terdahulu media melaporkan peningkatan jumlah kenderaan di Cameron Highlands dikhuatiri menjejaskan kualiti udara di kawasan peranginan tanah tinggi itu berikutan pelepasan asap kenderaan bermotor.

Pengerusi Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohd Talib Latif mahu kerajaan mengehadkan kenderaan awam di kawasan-kawasan tertentu di bandar peranginan itu bagi mengelakkan kesesakan jalan raya.

Pensyarah itu mencadangkan kemasukan kenderaan pelancong seperti kereta, van dan bas hanya boleh dibenarkan di kawasan penginapan atau hotel sahaja.

Manakala Pensyarah dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Noor Zaitun Yahaya pula mencadangkan, penyediaan perkhidmatan bas pengantara dari titik masuk utama seperti Tapah atau Simpang Pulai, Perak ke destinasi pilihan.

Mengulas lanjut, Razali juga mempersoalkan adakah wajar cadangan menyekat pengunjung apabila tempat tumpuan itu menjadi sesak namun menunjukkan peningkatan kehadiran pelancong.

“Ia sekali gus menunjukkan perkembangan ekonomi di pusat peranginan itu meningkat memberi impak untuk negeri ini. Hakikatnya tempat pelancongan memanglah ramai orang.

“Mana boleh yang hanya menginap sahaja dibenarkan masuk Cameron Highlands,’’ selorohnya. – MalaysiaGazette