Gambar hiasan

ROMPIN – Seorang lelaki warga Indonesia berusia 44 tahun maut dipercayai  dipijak tiga ekor gajah di kawasan Ladang Rangkaian Tebu Hitam di sini pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Nor Azman Yusof berkata, sebelum itu, dua rakannya melihat mangsa dikejar oleh sekumpulan haiwan berkenaan.

“Mangsa meninggal dunia di lokasi insiden. Menurut laporan seorang pekerja ladang dan kawannya melihat mangsa berlari ketakutan menuju ke arahnya.

“Dalam situasi cemas itu, rakan mangsa turut berlari menyelamatkan diri bersama seorang lagi rakan sekerja sebelum meminta bantuan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Nor Azman, selepas dua jam, pengadu dan rakannya kembali semula ke tempat kejadian dan menemui mangsa meninggal dunia dalam keadaan keadaan terbaring dipercayai dipijak gajah.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Rompin untuk proses bedah siasat dan bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan dipijak haiwan itu.

Nor Azman berkata, kejadian telah dimaklumkan kepada pihak Perhilitan dan dalam tindakan agensi berkaitan. – MalaysiaGazette