Satu mayat lelaki ditemukan di kawasan landasan kereta api dalam keadaan tertiarap berdekatan Jalan Suka Ria, Kampung Melayu, Majidee, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Satu mayat lelaki ditemukan tertiarap dalam keadaan tidak sempurna dipercayai akibat dirempuh kereta api berdekatan Jalan Suka Ria, Kampung Melayu, Majidee hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mayat yang belum dikenal pasti identitinya itu ditemui di kawasan landasan kereta api.

Katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan menerima maklumat penemuan jasad tersebut daripada orang awam pada pukul 7.53 pagi.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa dianggarkan berusia antara 30 hingga 40 tahun, berkulit sawo matang, rambut pendek dan mempunyai tatu berbentuk naga di bahagian belakang badan.

“Semasa kejadian mangsa berpakaian lengkap dengan memakai seluar trek warna kelabu dan baju T tidak berkolar warna putih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Raub berkata, siasatan di tempat kejadian tidak menemui sebarang pergelutan atau unsur-unsur jenayah ditemui atas jasad mangsa.

Kes diklasifisasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Amanah (HSA) di sini untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kejadian.

Tambah beliau, pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu untuk menghubungi hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2182323 atau Pegawai Penyiasat Naqwan Md Razip 010-6610620.- MalaysiaGazette