Nurul Nabiilah Sulaiman. Foto Facebook

KUALA LUMPUR – Dua pelajar cemerlang Malaysia, Nurul Nabiilah Sulaiman, 25, dan Shim Zi Jun, 23, telah terpilih untuk menyertai Program Pelajar Musim Panas CERN (CSSP) di Geneva, Switzerland.

Mereka antara 150 saintis muda dari seluruh dunia yang ditawarkan peluang istimewa bagi mengambil bahagian secara aktif dalam operasi harian kumpulan penyelidik yang menjalankan eksperimen di Pertubuhan Penyelidikan Kajian Nuklear Eropah (CERN).

Program ini sedang berlangsung bermula 1 Julai hingga 25 Ogos 2024.

Nurul Nabiilah merupakan graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Fizik dari Universiti Malaya dan sedang melanjutkan Ijazah Sarjana Sains dalam Kejuruteraan Komunikasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Minat beliau terhadap komuniti dan sains telah mendorong semangat kerjasama dan dedikasinya terhadap pembelajaran yang berterusan.

“Saya sangat teruja dan berbesar hati untuk mewakili Malaysia di CSSP 2024. Ini adalah peluang yang luar biasa bagi merealisasikan impian saya untuk menjejakkan kaki di makmal fizik zarah terbesar di dunia!

“Peluang sekali seumur hidup ini membolehkan kami menyumbang kepada penyelidikan baharu dan membawa semangat inovatif negara kita ke peringkat global,” katanya.

Manakala Zi Jun yang mahir dalam AutoCAD, Revit, dan program Microsoft Office, bersemangat untuk menyumbangkan kepakaran kejuruteraan beliau kepada CSSP.

Beliau merupakan pelajar Ijazah Sarjana dalam Kejuruteraan Awam di University of Nottingham.

“Saya berbangga dan berbesar hati untuk mewakili Malaysia dalam program ini. Saya sangat bersyukur kerana ia membantu saya merealisasikan impian zaman kanak-kanak saya. Dengan pendedahan yang tidak ternilai dalam sains, perspektif saya tentang kehidupan telah berubah menjadi lebih baik dan telah membantu saya melangkah keluar dari zon selesa saya.

“Saya berharap dengan berkongsi pengalaman ini, ia akan memberi inspirasi kepada lebih ramai pelajar STEM masa hadapan di Malaysia,” kata Zi Jun.

Sejak tahun 2012, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Akademi Sains Malaysia (ASM) telah menghantar 25 pelajar, termasuk edisi tahun ini, ke CSSP untuk meningkatkan keupayaan saintifik negara serta mempromosikan kerjasama antarabangsa.

CSSP merupakan peluang penting untuk bakat muda tanah air untuk berkembang, berinovasi, dan memimpin Malaysia ke masa hadapan dengan kecemerlangan saintifik dan teknologi.

Inisiatif ini dapat menyumbang kepada agenda nasional kita dalam membangunkan kumpulan bakat yang teguh.

Dengan melabur usaha dalam pelajar kita, kita sedang mempersiapkan mereka untuk menjadi lebih cemerlang dalam bidang memuncul masing-masing dan menyokong visi Malaysia untuk menjadi sebuah negara berteknologi tinggi menjelang 2030,” kata YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Presiden ASM, YBhg. Academician Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen FASc berkata, penyertaan pelajar Malaysia dalam CSSP sejajar dengan misi ASM untuk memupuk dan membangunkan bakat terkemuka dalam sains, teknologi dan inovasi.

Tahun ini, ASM menjalankan proses pencalonan dan pemilihan CSSP yang mana 47 calon telah disenarai pendek. Jawatankuasa Pemilihan CSSP telah menjalankan temuduga bagi mengenal pasti calon yang paling cemerlang. – MalaysiaGazette