Barang rampasan dipercacayai sarang burung.

SEPANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah mematahkan cubaan menyeludup sarang burung tanpa permit dari Indonesia ke Malaysia berjumlah lebih RM1.57 juta.

Penolong Ketua Pengarahnya, Norlela Ismail berkata, bertindak atas maklumat sepasukan anggota telah membuat pemeriksaan di dalam sebuah gudang sekitar jam 6.15 petang pada 31 Julai lalu.

“Kita telah merampas sebanyak sembilan buah guni yang mengandungi sarang burung dengan berat kasar 196 kilogram (kg) di dalam gudang Zon Perdagangan Bebas (FCZ) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Kargo.

“Dagangan sarang burung ini di import masuk ke Malaysia tanpa memiliki permit yang sah untuk pasaran tempatan dengan nilai rampasan sebanyak RM1,576,000 melibatkan cukai iaitu RM78,800,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam KLIA, di sini, hari ini.

Tambah beliau, modus operandi digunakan sindiket adalah mengisytiharkan nama syarikat ejen perkapalan sebagai konsaini di dalam dokumen penerbangan.

Selain itu, ujar Norlela, sindiket dipercayai menggunakan alasan penghantaran ke luar negara ke atas sarang burung tersebut jika dagangan itu ditahan pihak berkuasa.

“Susulan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1957 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan itu atau RM50,000 mana yang lebih besar.

“Pengimportan dan pengeksportan sarang burung memerlukan permit sah daripada pihak berwajib kerana disenaraikan di dalam Perintah Kastam (Larangan Import dan Eksport) 2023,” ujarnya.

Dalam pada itu, Norlela juga mengumumkan satu lagi kejayaan JKDM Unit III, Zon Tengah yang merampas 322,000 batang rokok putih dan 46 master case pada 9 Julai lalu.

“Hasil pemeriksaan mendapati, ia dimuatkan dalam empat palet dagangan yang mengandungi sejumlah pakaian dari Korea Selatan di gudang MAS Kargo, Zon Perdagangan Bebas di KLIA Kargo.

“Semakan lanjut juga mendapati, rokok putih tersebut masuk ke dalam kawasan Zon Bebas KLIA tanpa permit yang sah dan telah menggunakan cara perkhidmatan penghantaran kargo.

“Jumlah nilai barang yang dirampas berjumlah RM32,000 manakala duti cukai pula adalah sebanyak RM215,740,” jelasnya.

Tegas beliau, rokok telah disenaraikan dalam Perintah Kastam (Larangan Import) 2023 Jadual Ketiga Bahaggian I dan memerlukan permit import jika dibawa masuk ke Malaysia.

Norlela turut memaklumkan, kes ini disiasat sama seperti penyeludupan sarang burung iaitu disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1957.

“Orang ramai digesa untuk membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan lain-lain serta tidak membabitkan diri dengan aktiviti penyeludupan

“Sebarang maklumat berkaitan penyeludupan boleh disaurkan di talian bebas tol kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam yang terdekat di semua negeri,” katanya. – MalaysiaGazette