Foto: JBPM

KUALA LUMPUR – Dua remaja maut manakala empat lagi cedera apabila kereta dinaiki hilang kawalan dan merempuh sebuah jengkaut yang sedang membuat kerja-kerja pembaikan jalan dekat lampu isyarat di hadapan Sekolah Kebangsaan Kampung Gelam, Port Dickson, Negeri Sembilan, awal pagi tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Pegawai Bomba Kanan(PBK) II, Mohd Khalid Dolah berkata, dalam kejadian itu terdapat dua mangsa tersepit dan berjaya dikeluarkan daripada kenderaan oleh pasukan bomba dengan menggunakan peralatan menyelamat.

“Namun, kedua-dua mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan KKM yang kemudiannya diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.25 pagi,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.

Menurut Mohd Khalid, selain itu terdapat empat mangsa mengalami kecederaan.

Katanya, kesemua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam dan dibawa ke hospital berdekatan dengan menaiki ambulans Kementerian Kesihatan (KKM).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt. Aidi Sham Mohamed berkata, siasatan awal kejadian jam 1.45 pagi itu mendapati kereta dari arah Port Dickson ke Seremban cuba mengelak kon lalu terbabas dan merempuh sebuah jengkaut yang sedang menggali lubang untuk pemasangan kabel bawah tanah.

“Punca kemalangan dipercayai pemandu kereta gagal kawal kenderaan,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut beliau, mangsa yang meninggal dunia adalah seorang remaja lelaki berusia 24 tahu dan seorang pelajar kolej perempuan berumur 19 tahun.

Jelasnya, mereka yang cedera pula adalah dua pelajar kolej perempuan berusia 18 dan 19 tahun, seorang remaja lelaki berumur 17 tahun dan seorang pelajar sekolah berusia 16 tahun.

Aidi Sham berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette