Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan keputusan kerajaan menarik balik pembatalan larangan terhadap penerbitan komik berjudul ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ tulisan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau bukan sesuatu yang memeranjatkan.

Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ia sememangnya satu langkah yang sudah dijangka dalam situasi Kerajaan Perpaduan yang mentadbir Persekutuan hari ini yang turut ditunjangi oleh DAP sebagai parti komponen terbesar.

Ujar beliau, walaupun kerajaan boleh menggunakan alasan perintah itu dibuat berdasarkan keputusan Mahkamah Rayuan pada Mei 2022 yang menerima rayuan Kuan Yau berhubung larangan berkenaan, tiada sebarang hambatan yang perlu dikejar oleh kerajaan untuk membuat pembatalan perintah larangan tersebut.

“Semua pihak tahu siapakah individu bernama Hew Kuan Yau ini.

“Sewaktu saya bangkit di dalam Parlimen pada 16 Februari 2023 menyebut berhubung berkenaan ucapannya ketika musim kempen pilihan raya umum yang lepas yang membawa kepada siasatan pihak polis, beberapa orang ahli Parlimen DAP bangun menyuarakan pembelaan,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Tambah Ahmad Fadhli, beliau yakin semua pihak di dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini termasuk UMNO sangat bergembira dengan keputusan kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) tersebut.

“Saya ingin turut mencadangkan agar ia diedar secara besar-besaran semasa kempen di Nenggiri. Jika tidak sempat melalui jalan darat, boleh gunakan helikopter,” sindir beliau. – MalaysiaGazette