Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 18,205 kes jenayah komersial direkodkan sehingga Ahad lalu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, bersamaan purata 81 kes sehari.

Pengarahnya, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, secara perbandingan, jumlah kes dicatatkan menunjukkan penurunan lapan peratus berbanding 19,720 kes yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu.

“Berdasarkan nilai kerugian yang diperoleh setakat ini, angka kerugian telah mencecah RM1,529,596,297.95.

“Jumlah ini adalah peningkatan sebanyak 31 peratus jika dibandingkan dengan nilai RM1.1 bilion bagi tempoh sama pada 2023.

“Pembanterasan jenayah komersial dalam era kecanggihan teknologi semasa merupakan cabaran yang menuntut komitmen yang lebih jitu daripada pihak JSJK, khususnya,” katanya.

Tambah beliau, sehingga kini kes jenayah komersial dapat ditangani dengan baik dan ia dizahirkan melalui 10,848 kertas siasatan yang telah berjaya dituduh di mahkamah.

“Menjelang akhir tahun ini, JSJK menjangkakan kes jenayah komersil akan terus melonjak dan bakal menjadi lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya,

“Trend ini menjadi satu cabaran kepada PDRM untuk terus melipatgandakan usaha dalam membanteras kegiatan jenayah komersil.

“Pada masa sama, PDRM turut menyeru pembabitan setiap lapisan masyarakat untuk memainkan peranan masing-masing khususnya dalam usaha pencegahan jenayah komersial,” ujarnya. – MalaysiaGazette