Foto: Ihsan FB Dewan Ulamak Pas Pusat

KUALA LUMPUR – Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) menyifatkan DAP cuba menangguk di air keruh dengan memainkan isu `kafir harbi’.

Ketua DUPP, Datuk Ahmad Yahaya berkata, DAP memainkan isu itu sama ada kerana tidak mempunyai isu lain untuk ditujukan kepada Pas, atau sekadar mengalih perhatian daripada kegagalan dasar di Putrajaya.

Jelas Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, isu itu juga sekadar mainan politik pihak musuh Pas yang dimainkan menerusi pemimpin DAP untuk kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

“Tanggapan sedemikian adalah untuk membentuk persepsi bahawa Pas sebuah parti yang menakutkan khususnya kepada masyarakat bukan Islam.

“Sudah tentu tanggapan tersebut menyeleweng bahkan Pas tidak akan terjun ke dalam kolam falasi yang dicipta musuhnya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tambah Ahmad, DUPP yakin Pas sudah mula diterima masyarakat bukan Islam yang sekurang-kurangnya mengubah tanggapan negatif terhadap perjuangan Islam yang didukung oleh Pas sejak awal penubuhannya.

Ujarnya, sifat inklusif Pas dalam menyantuni masyarakat pelbagai agama dan budaya itu membuktikan keterbukaan parti tersebut.

“PRK Sungai Bakap baru-baru ini banyak memberikan imej positif terhadap Pas dan Perikatan Nasional (PN) dan DUPP yakin imej tersebut akan disambut dengan gelombang sokongan masyarakat Orang Asli dalam PRK Nenggiri kelak,” katanya.

Ahmad menambah, perjuangan Pas adalah untuk seluruh rakyat dan Pas hanya bertegas dalam perkara yang menyentuh prinsip agama Islam.

Namun, di sebalik ketegasan itu, ujar beliau, terdapat sikap tolak ansur selagi mana tidak melanggari sempadan.

“Malah, Pas juga berpencak di atas neraca kesederhanaan dan tidak mahu terbelit dengan perbahasan perbezaan mazhab sehingga membawa kepada keretakan dan perpecahan ummat yang merugikan.

“Pegangan perjuangan sedemikian menjadikan Pas sentiasa relevan dan dinamik menghadapi perubahan arus semasa.

“Tambahan lagi, pembangunan dan pentadbiran yang progresif di negeri-negeri yang ditadbir Pas adalah contoh bagaimana prinsip ini diterjemah dalam konteks politik dan pentadbiran.,” katanya. – MalaysiaGazette