Tertuduh, Mohamad Amin Shahul Hamid, keluar dari Mahkamah Sesyen pada Mac 2022.

KUANTAN – Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini menetapkan 27 November depan bagi mendengar keputusan rayuan seorang bekas majistret yang dijatuhi hukuman bersalah oleh mahkamah sesyen, di sini dua tahun lalu.

Tarikh tersebut ditetapkan Hakim Datuk Mohd Radzi Harun selepas hampir dua jam mendengar hujahan balas dikemukakan kedua-dua pihak plaintif dan defendan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Rifah Izzati Abdul Mutalif.

Menerusi prosiding hari ini, tertuduh Mohamad Amin Shahul Hamid, 43 yang diwakili peguam RSN Rayer mengemukakan rayuan agar mahkamah tinggi itu mengenepikan hukuman bersalah yang disabitkan oleh mahkamah sesyen pada Mac 2022.

Mohamad Amin telah dijatuhi hukuman penjara 58 tahun dan denda RM1.05 juta oleh Mahkamah Sesyen Kuantan selepas didapati bersalah terhadap enam kes pertuduhan berkaitan rasuah.

Bagaimanapun, semua hukuman penjara itu diperintahkan berjalan secara serentak iaitu penjara selama 12 tahun bermula tarikh sabitan.

Tertuduh yang pernah berkhidmat di Mahkamah Lipis dan Raub itu, didapati bersalah meminta suapan berjumlah RM100,000 dan menerima suapan bernilai RM110,000 daripada Hassan Basri Ahmad Sutan Modo di sekitar Lipis dan Raub antara 5 Julai hingga 22 Oktober 2019.

Suapan tersebut sebagai dorongan untuk hanya mengenakan denda dan tidak menjatuhkan hukuman penjara terhadap Hassan Basri yang didakwa memiliki rokok seludup semasa kes itu didengar di hadapan tertuduh.

Dia didapati bersalah mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 9 Ogos tahun lalu, mahkamah selepas mendengar keterangan 15 saksi pendakwaan memerintahkan tertuduh membela diri terhadap semua pertuduhan.

Bagaimanapun, tertuduh memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah tanpa mengemukakan saksi lain bagi menyokong pembelaannya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Majistret dihukum penjara 29 tahun, denda RM1.5 juta