HULU SELANGOR – Mayat wanita yang ditemukan terapung di Taman Rekreasi Perigi Tujuh, Serendah semalam masih belum menjalani proses bedah siasat di Unit Forensik, Hospital Kuala Kubu Bharu, di sini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim ketika dihubungi bagaimanapun enggan mendedahkan butiran terperinci mengenai mayat wanita berusia 48 tahun itu.
“Belum (bedah siasat),” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Semalam, kawasan rekreasi itu digemparkan dengan penemuan mayat berpakaian T-shirt dan seluar jeans yang ditemukan kira-kira jam 10.50 pagi dalam keadaan terlungkup di atas permukaan air kolam berkenaan.
Ahmad Faizal dilaporkan berkata, hasil siasatan awal dan pemeriksaan mayat berkenaan tiada kesan kecederaan luaran, pergelutan serta lain-lain kecederaan pada tubuhnya.
Mayat wanita itu kemudiannya dibawa ke Unit Forensik, Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Selain itu, Ahmad Faizal mengesahkan kereta berwarna putih jenis Honda yang diparkir berhampiran lokasi kejadian adalah milik mangsa.
Katanya lagi, siasatan lanjut masih diteruskan dan sehingga kini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – MalaysiaGazette