Setiausaha Agong UMNO, Datuk Ashraf Wajdi Datuk Dusuki bercakap kepada media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 di, Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 14 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 akan membuat kelainan dengan menganjurkan Program Eksplorasi Kerjaya TVET yang akan berlangsung dari 23 Ogos hingga 25 Ogos.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, program julung kali diadakan itu bertemakan TVET Pilihan Utama Kerjaya akan mengetengahkan konsep gerbang maklumat latihan dan pekerjaan.

Program tersebut bagi menzahirkan komitmen UMNO sebagai parti yang mempelopori agenda TVET negara dan telah dizahirkan melalui oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan Pengerusi Majlis TVET Negara.

“Buat kali pertama dalam sejarah tanah air TVET diarusperdanakan dengan suatu dasar yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jun lalu.

“Dasar TVET ini amat mustahak untuk kita uar-urarkan secara besar-besaran kerana ia merupakan satu agenda penting untuk anak muda dan bagi memastikan tidak ada seorang pun terpinggir daripada arus pendidkan perdana,” katanya.

Menurut Asyraf Wajdi, di bawah Majlis TVET Negara terdapat 1,345 institusi yang menawarkan tidak kurang 250,000 peluang pendidikan dalam lebih 4,000 bidang.

Menurutnya, dua dewan besar iaitu Dewan Tun HUssein Onn dan Tun Dr. Ismail di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur akan menjadi lokasi Program Eksplorasi Kerjaya TVET.

Program tersebut akan memberi fokus kepada empat elemen utama iaitu Pameran teknologi dan kerjaya; Pameran kisah kejayaan ikon TVET; Talkshow ikon TVET dan Konsultansi latihan dan kerjaya.

Eksplorasi Kerjaya TVET ini akan mengetengahkan pameran teknologi berdasarkan kepada sembilan sektor iaitu Kluster teknologi automotif; Kluster teknologi penerbangan (aviation); Kluster teknologi maklumat dan Kluster teknologi pembuatan termaju.

Turut dipamerkan Kluster teknologi rel; Kluster teknologi perladangan moden; Kluster teknologi pertanian dan penternakan; Kluster teknologi pembinaan dan Kluster perkhidmatan.

Kisah kejayaan ikon TVET akan dipamerkan dalam program ini dan ia turut dimantapkan lagi dengan kehadiran beberapa ikon TVET untuk berkongsi secara santai berkaitan pengalaman dan kejayaan mereka untuk dijadikan inspirasi kepada para pengunjung.

Elemen konsultansi latihan dan kerjaya akan memfokuskan kepada aktiviti khidmat nasihat berkaitan pemilihan bidang latihan, institusi latihan dan perancangan laluan kerjasa.

Sesi konsultansi akan melibatkan kepakaran tenaga pengajar TVET merentasi pelbagai Kementerian dan juga tenaga mahir industri untuk memberi pencerahan kepada para pengunjung berkaitan bidang-bidang yang diminati. – MalaysiaGazette