KULAI – Polis menafikan seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun hilang selepas keluar dari rumahnya di Bandar Putra, di sini, pada awal pagi Sabtu lalu, seperti yang tular dalam media sosial.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tan Seng Lee berkata, keluarganya ada membuat laporan polis pada pukul 10.08 pagi hari yang sama memaklumkan remaja perempuan tersebut hilang.
“Ahli keluarga remaja berkenaan kemudian menemuinya semula di kawasan tapak festival Orang Muda Johor (OMJ), Hutan Bandar Kulai di sini kira-kira pada pukul 11.30 pagi.
“Remaja berkenaan kemudian dibawa balik untuk siasatan pihak polis. Tiada kes orang hilang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Terdahulu pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Putra 2 itu dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya dan kejadian tersebut tular dalam media sosial.
Menerusi paparan dalam yang tular dalam media sosial itu, rakaman kamera litar (CCTV) di kediaman keluarganya merakamkan gadis berkenaan keluar rumah pada pukul 2.17 pagi.- MalaysiaGazette