Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan Gerakan, Ong Siang Liang.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) digesa mempercepatkan siasatan menyeluruh terhadap kualiti perkhidmatan syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines (MAS).

Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Ong Siang Liang berkata, Mavcom juga perlu mengambil langkah-langkah berkesan untuk meningkatkan tahap pengurusan MAS.

Ujar beliau, ia susulan beberapa insiden sejak kebelakangan ini yang menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penumpang MAS antaranya masalah kelewatan yang serius selain penerbangan yang dibatalkan.

Menurutnya, insiden itu bukan sahaja menjejaskan perancangan perjalanan penumpang, malah turut memberi kesan buruk terhadap imej negara.

“Sebagai sebuah syarikat penerbangan negara, MAS bukan sahaja merupakan mod pengangkutan tetapi juga mewakili imej Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Namun, masalah perkhidmatan MAS baru-baru ini bukan sahaja telah menjejaskan pengalaman perjalanan penumpang, tetapi juga secara langsung menjejaskan imej negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Antara insiden melibatkan penerbangan MAS baru-baru ini termasuk penerbangan dari Doha ke Kuala Lumpur yang tertangguh lebih 24 jam disebabkan masalah enjin.

Selain itu, penerbangan dari Bangkok ke Kuala Lumpur pada 5 Ogos lalu yang sepatutnya berlepas pukul 1 petang turut ditangguhkan beberapa kali sebelum akhirnya dibatalkan.

Tambah Siang Liang, sebagai sebuah organisasi yang mengawal selia sektor penerbangan terutama syarikat penerbangan dan lapangan terbang, Mavcom seharusnya memperkuatkan dasar memperkukuhkan kepentingan perlindungan penumpang.

Jelasnya, Mavcom perlu bertindak pantas dalam perkara itu dan menegur MAS atas ketidaktentuan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan kepada penumpangnya.

“MAS mencerminkan maruah negara dan kita berharap pihak berkaitan dapat bertindak segera bagi memastikan syarikat penerbangan premium negara ini dapat kembali kepada tradisi cemerlangnya dan terus memberikan perkhidmatan yang unggul kepada penumpang dari seluruh dunia,” katanya. – MalaysiaGazette