Para peserta dari UiTM bersama Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying pada Pameran Barangan Kemas Pulau Pinang 2024.

PULAU PINANG – Universiti Teknologi MARA (UiTM), melalui Program Seni Reka Teknologi Barang Kemas dari Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Shah Alam, telah menunjukkan komitmen dan kepakaran akademiknya dalam industri barang kemas dengan menyertai Pameran Barangan Kemas Pulau Pinang 2024.

Pameran Barangan Kemas Pulau Pinang 2024, yang dianjurkan oleh Elite Expo Sdn. Bhd. dengan kerjasama Persatuan Perniagaan Emas dan Permata Pulau Pinang, berfungsi sebagai platform penting untuk pengeluar, pembeli, penjual, dan pereka barang kemas bagi meneroka peluang perniagaan yang luas.

Acara ini menampilkan reka bentuk barang kemas terkini serta teknologi pembuatan yang inovatif, memposisikan Malaysia sebagai pusat perdagangan emas dan barang kemas di peringkat global.

Penyertaan UiTM dalam pameran ini mendapat pengiktirafan istimewa melalui tajaan penuh yuran pameran sebanyak RM22,000 yang disumbangkan oleh Datuk Johnson Lim, Ketua Pegawai Eksekutif Elite Expo Sdn. Bhd.

Tajaan ini mencerminkan penghargaan terhadap kualiti dan potensi pelajar UiTM dalam industri barang kemas, sekaligus memberi mereka platform untuk mempamerkan bakat dan kemahiran mereka kepada dunia.

Kerjasama antara UiTM dan industri barang kemas bukanlah perkara baru. Ia merupakan lanjutan daripada Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai pada tahun 2023 antara Program Seni Reka Teknologi Barang Kemas UiTM Shah Alam dan Persatuan Perniagaan Emas dan Permata Pulau Pinang.

Kerjasama ini turut merangkumi penganjuran Pertandingan Reka Bentuk Barang Kemas PSG 2023, yang telah berjaya mencetus inspirasi dan menarik minat para pelajar untuk menceburi industri barang kemas yang penuh dinamik.

Inisiatif ini memperkukuh hubungan antara sektor pendidikan dan industri, dengan memperkenalkan bakat-bakat baru dari UiTM kepada pemain utama dalam industri barang kemas di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Pada masa yang sama, kerjasama ini memastikan kelestarian program melalui pelbagai inisiatif strategik
yang dibentuk oleh UiTM, Elite Expo Sdn. Bhd., dan Persatuan Perniagaan Emas dan Permata Pulau Pinang.

Pameran Barangan Kemas Pulau Pinang 2024 membuka peluang besar kepada pelajar UiTM untuk membina rangkaian dengan pemain utama industri, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab perdagangan emas dan barang kemas yang terkemuka di peringkat antarabangsa.

Penyertaan UiTM dalam pameran ini tidak hanya memperlihatkan kematangan institusi dalam melahirkan graduan yang berdaya saing, tetapi juga menunjukkan keupayaan UiTM untuk terus memainkan peranan penting dalam mengangkat industri kreatif negara. – MalaysiaGazette