UMNO c alon DAP
Gambar hiasan

Menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri pada 17 Ogos ini, UMNO mempertaruhkan Ketua Pemuda Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani menentang calon dari Perikatan Nasional, Saudara Rizwadi Ismail. Kedua- dua calon ini adalah calon muda, yang dikira dapat mengambil hati pengundi muda, pengundi majoriti di DUN ini. Namun UMNO dijangka mengalami masalah untuk menang dalam pertandingan satu lawan satu.

Kesilapan strategi dan fokus oleh UMNO membuatkan imejnya semakin tercalar dan ia sekaligus mungkin akan merosakkan peluang kemenangan calonnya. Seperti sebelumnya, sikap bongkak dan keyakinan berlebihan tanpa memahami realiti semasa serta perubahan dalam sokongan pengundi boleh menyebabkan UMNO sekali lagi tewas dalam PRK ini.

UMNO yakin atau bongkak?

Ketika menamakan calonnya, UMNO sudah mengeluarkan kenyataannya menghalang parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) daripada turut serta dalam membantu kempen mereka. UMNO  berpendapat bahawa kekuatannya sendiri, kekuatan Tengku Razaleigh Hamzah dan calonnya sudah mencukupi bagi menghadapi calon lawan. Namun tindakan ini boleh dianggap sebagai memaparkan imej bongkak atau terlalu yakin pada diri sendiri.

Dalam konteks politik, kebergantungan pada kekuatan dalaman sahaja tanpa mengambil kira potensi bantuan daripada sekutu boleh dilihat sebagai suatu kesilapan besar, terutamanya dalam suasana politik yang semakin kompleks dan dinamik. Ia juga satu risiko tinggi yang diambil kerana kekalahan tanpa bantuan sekutu akan menjadikan UMNO sesatunya punca kekalahan.

UMNO tampak yakin dengan kekuatan Tengku Razaleigh yang sudah kehilangan pengaruhnya, terutamanya selepas kekalahannya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15). Keyakinan ini tidak mengambil kira perubahan demografi dan psikografi pengundi yang tidak lagi terpengaruh dengan kehadiran figura politik lama tanpa pembaharuan dalam pendekatan atau dasar.

UMNO juga dilihat terlalu yakin dengan sokongan kuat pengundi Orang Asli sedangkan mereka sudah berubah dan kini lebih cenderung kepada PN yang dilihat sebagai alternatif yang lebih segar dan responsif terhadap keperluan semasa mereka. UMNO mungkin gagal menyedari perubahan dinamik ini dan terus bergantung kepada strategi lama yang sudah tidak lagi relevan.

Pengundi Nenggiri diremehkan

Kegagalan UMNO untuk mengemukakan manifesto juga memberi masalah, terutama dalam konteks di mana calon PN melancarkan manifesto “KHIDMAT” nya yang komprehensif. Kegagalan ini menunjukkan ketidakpedulian UMNO terhadap keperluan dan kehendak pengundi, dan memperlihatkan seolah-olah mereka meremehkan kepentingan memikat hati pengundi.

Dengan tidak mengemukakan manifesto, UMNO berisiko kehilangan kepercayaan pengundi yang mungkin merasa bahawa ia tidak serius dalam menyelesaikan isu-isu penduduk. Sebaliknya, manifesto PN yang berorientasikan tindakan akan memberi calon PN kelebihan dalam menarik undi daripada kelompok-kelompok masyarakat yang menjadi sasaran manifesto tersebut.

Pembangunan masih jadi taruhan UMNO

Pengumuman Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, untuk mempertimbangan ke atas projek-projek pembangunan di Nenggiri mungkin dilihat sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap keperluan rakyat tetapi pengundi mungkin sudah tidak mudah terpengaruh dengan janji-janji pembangunan.

Umum mengetahui Nenggiri telah lama berada di bawah penguasaan UMNO sebelum kalah pada PRN. Namun, kegagalan ADUN UMNO sebelum ini untuk membawa sebarang kemajuan yang signifikan kepada kawasan tersebut telah menyebabkan kekecewaan dalam kalangan pengundi. Mereka mungkin mencari alternatif yang lebih baik untuk membawa perubahan yang diperlukan.

Pengundi mungkin melihat sejarah kegagalan atau kelewatan dalam pembangunan di Nenggiri untuk tidak mempercayai janji-janji baru yang dibuat semasa kempen. Disebabkan permintaan mereka sebelum ini tidak diambil serius, mereka mungkin melihat ia sebagai tidak lebih dari taktik politik untuk meraih undi, bukan sebagai komitmen sebenar kepada pembangunan.

Sejarah peminggiran Kelantan oleh Kerajaan Pusat telah menyebabkan rakyat Kelantan, terutamanya generasi muda, sinis terhadap janji-janji pembangunan oleh UMNO. Mereka menganggap janji pembangunan di Nenggiri sebagai sesuatu yang tidak realistik, memandangkan BN telah memenangi kerusi ini sekian lama tetapi gagal membawa sebarang perubahan ketara.

Melayu masih tolak DAP

Rakyat Kelantan, khususnya orang-orang Melayu, juga umumnya menolak kepimpinan Zahid. Majoriti ahli UMNO mengakui Zahid adalah tokoh utama membawa UMNO bekerjasama dengan musuh tradisi mereka, DAP, dalam Kerajaan Perpaduan. Sentimen ini sangat kuat di kawasan luar bandar seperti Nenggiri, di mana pengundi lebih konservatif dan kurang menerima politik kerjasama dengan DAP.

Malah bukan sahaja di Kelantan tetapi sentimen sebegini juga amat kuat di negeri-negeri lain. Hal ini terbukti apabila UMNO sendiri seperti UMNO Bahagian Kluang dan Tenggara di Johor meluluskan usul sebulat suara agar UMNO mengkaji semula hubungan dengan DAP. Bagi mereka hubungan ini merugikan UMNO dan tindak tanduk DAP dalam Kerajaan Perpaduan seperti duri dalam daging.

Selain itu, dalam beberapa PRK sebelum ini terdapat tren yang jelas di mana kawasan majoriti Melayu menolak kerjasama UMNO dan DAP serta cenderung memihak kepada PN. Terkini adalah kemenangan PN dalam PRK Sungai Bakap, walaupun kawasan tersebut berada di bawah Parlimen Nibong Tebal yang mempunyai Menteri Pendidikan dan dua orang EXCO Kerajaan Negeri.

UMNO masih menggunakan taktik politik lama, seperti menyebarkan berita ahli-ahli BERSATU keluar parti serta pembubaran cawangan BERSATU di Gua Musang dan Jeli. Namun, taktik ini mungkin tidak lagi relevan bagi pengundi yang sudah kalih dengan propaganda begini. Sebaliknya ramai ahli UMNO yang kecewa dan tidak selesa dengan Zahid mungkin menyokong PN.

UMNO juga tidak bersatu. Zahid dilihat meminggirkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang biasanya dilantik menjadi Pengarah Pilihan Raya UMNO. Perpecahan ini menunjukkan ketidakstabilan dalam parti yang boleh merosakkan imej UMNO di mata ahli-ahli parti dan pengundi selain boleh menjejaskan keberkesanan jentera pilihan raya UMNO.

Inilah antara isu-isu yang perlu dilihat oleh UMNO dalam tempoh akhir kempen di Nenggiri.

Dr Mukhtaruddin Musa adalah Pengarah Bahagian Penyelidikan Yayasan Strategik Lestari (YSL)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast