Rovina Kobun pemenang "Best of the Best" dan inovasi "Sea-Coat," membawa pulang wang tunai bernilai RM10,000.

KOTA KINABALU – Penganjuran Anugerah Kecemerlangan RekaCipta (EXCOCIPTA) 2024 oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) dilihat mampu menunjukkan semangat inovasi dan kreativiti yang tinggi serta komitmen terhadap pembangunan ilmu pengetahuan dan teknologi.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor, penganjuran EXCOCIPTA 2024 bertujuan untuk meningkatkan kualiti dan keterlihatan inovasi akademik dan pelajar dan memperbaiki pemasaran dan pengkomersialan harta intelek.

“Di samping itu, ia juga memupuk pendidikan inovasi awal dan meningkatkan kesedaran serta kemahiran dalam perlindungan dan pengkomersialan harta intelek,” katanya.

Selain pameran inovasi dan ceramah ilmiah, pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang berlangsungnya EXCOCIPTA kali ini seperti Pertandingan Reka Cipta (PEREKA), STEMQuest Ignite, NexGen Ventures dan LAGUCipTa 1.0.

PEREKA 2024 menyaksikan pensyarah kanan Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) UMS, Ts. Dr. Rovina Kobun dinobatkan sebagai pemenang ‘Best of the Best’ melalui inovasi & ‘Sea-Coat’ sekali gus membawa pulang wang tunai bernilai RM10,000, manakala pensyarah kanan Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB)
UMS, Dr. Muhammad Dawood Shah memenangi anugerah ‘Most Sustainable Food Innovation’ melalui inovasi ‘Aqua Shield-Bio’

Dalam pada itu, pensyarah kanan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS, Dr. Mohamed Arif Hameed Sultan pula meraih anugerah ‘Best High Impact Innovation’ dengan produk ‘Portable Thermal Cautery Circumcision Device’ dan pensyarah Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Madya Dr. Mohamad Najmi Masri memenangi ‘Best Sustainable Technology’ dengan inovasi ‘NSP – Innovation Design of Sublimation Machine’.

Pertandingan STEMQuest Ignite menyaksikan penyertaan daripada sekolah-sekolah seluruh Sabah yang mempamerkan inovasi kreatif masing-masing.

Buku Bijak Makanan dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kok Wah (SJKC), Talibong memenangi kategori Inventor Junior (Tahun 1-3), manakala ‘Smart Recycle Bin Sorter’ dari SK (C) Anglo Chinese, Kota Kinabalu, meraih juara bagi kategori Inventor Junior (Tahun 4-6).

Sementara itu, “S2ABiofuel’ dari Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Peter Mojuntin, Penampang, memenangi kategori Inventor Muda (Menengah Rendah), dan ‘Tuhau Transformers’ dari S.M. Lok Yuk Kota Kinabalu telah memenangi kategori Inventor Muda (Menengah Atas) serta Anugerah Inovasi Akar Umbi IDS
bernilai RM2,000.

Pertandingan NexGen Ventures, menyaksikan detik kejayaan pensyarah kanan FPSK, Dr. Mohd Fariz Amri Aliaman yang meraih dua anugerah utama, iaitu Best Venture Idea dan Innovative Venture Idea melalui penyelidikannya bertajuk Lymph Node Revealing Solution‘  manakala Ag Ahmad Mohd Yunus memenangi anugerah Best Pitch dengan inovasi ‘SWD Mulch’.

Pertandingan LAGUCipTa 1.0 pula menyaksikan ‘Musarungan’ dinobatkan sebagai juara sekali gus menerima anugerah khas untuk Susunan Muzik Terbaik, manakala Mixsimus Jumi dari kumpulan yang sama menerima anugerah Vokal Terbaik, sementara ‘Joget Alam’ memenangi anugerah Lirik Terbaik dan Persembahan Terbaik. – MalaysiaGazette