SEPANG – Seorang wanita tempatan yang mengisytiharkan sarang burung untuk menyeludup dadah dari negara jiran gagal apabila helahnya dihidu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada 4 Ogos lalu.

Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, suspek berusia 39 tahun itu telah ditahan Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar jam 2.15 pagi.

“Wanita yang dipercayai menjadi keldai dadah itu tiba di KLIA dengan menaiki penerbangan dari Bangkok, Thailand dan transit menuju ke Eropah.

“Hasil pengimbasan ke atas bagasi yang dibawa penumpang itu didapati terdapat barang larangan disyaki dadah telah dimuatkan di dalam bagasi tersebut.

“Semasa pemeriksaan rapi dijalankan, pegawai Kastam menemukan 27 bungkusan lutsinar yang mengandungi gumpalan bahan tumbuhan berada di dalam bagasi tersebut.

“Ujian awal ke atas gumpalan bahan itu disyaki ganja dianggarkan berat kasar 15.30 kilogram (kg) dan nilai keseluruhan kira-kira RM55,530,” katanya dalam sidang media di di Kompleks Kastam KLIA, di sini, hari ini.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan 12 kali sebatan. – MalaysiaGazette