KUALA LUMPUR – Pihak scammer didapati telah menyalahgunakan nama dan logo Naza serta menyamar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Naza Automotive Holdings Sdn Bhd, Mohd Rizal Jailan, dalam percubaan menipu masyarakat untuk melabur dalam skim pelaburan yang tidak sah dan meragukan.

Kumpulan Naza (Naza) berkata, aktiviti tidak bertanggungjawab melibatkan penipuan phishing ini berlaku di platform sosial Telegram baru-baru ini.

“Kami ingin menegaskan Kumpulan Naza dan anak syarikat kami tidak terlibat dalam sebarang aktiviti berkaitan pelaburan, apa lagi meminta wang daripada orang ramai.

“Aktiviti sebegini bercanggah dengan nilai dan amalan bisnes Kumpulan Naza. Kami menasihati orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan merujuk sumber rasmi bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai penipuan atau scam,” katanya dalam kenyataan di sini.

Oleh iti, Naza meminta orang ramai merujuk halaman Facebook Amaran Scam oleh Bank Negara Malaysia, serta Cyber Crime Alert dan SemakMule oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), untuk maklumat dan peringatan terkini.

Tambahnya, sekiranya ada individu yang telah menjadi mangsa penipuan, sila lapor kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dengan segera. – MalaysiaGazette