Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Arman Azha Abu Hanifah. Foto: Ihsan UMNO Online

KUALA LUMPUR – Mesyuarat UMNO bahagian yang sedang berlangsung di seluruh negara ketika ini memperlihatkan semangat positif dalam kalangan ahli akar umbi berhubung kerjasama politik UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan.

Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Arman Azha Abu Hanifah berkata, penerimaan dan solidariti dalam kalangan akar umbi penting ke arah memperkukuh serta memperkasakan lagi parti.

Ahli Dewan Negara itu berkata, ahli UMNO semakin terbuka menerima kerjasama parti itu dalam Kerajaan Perpaduan iaitu keputusan yang turut memastikan UMNO dapat terus membela nasib orang Melayu.

“Ini satu kerjasama (Kerajaan Perpaduan) yang perlu kita laksana secara dinamik dan progresif walaupun ada segelintir yang masih lagi tidak memahami sebab apa kerjasama ini.

“Jadi, Mesyuarat Bahagian UMNO menjadi platform terbaik untuk memberikan penjelasan kepada akar umbi kenapa wujudnya Kerajaan Perpaduan, kenapa kerjasama sebuah politik ini amat penting selain satu platform untuk kita memantapkan parti kita sendiri,” katanya menerusi satu kenyataan seperti dilaporkan portal UMNO Online.

Mengulas kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan, Arman berkata, adalah mustahil BN yang hanya memenangi 30 kerusi Parlimen masih berpeluang untuk bersama membentuk kerajaan.

Lebih daripada itu, ujarnya, tujuh pemimpin UMNO dan BN yang berpengalaman turut diberi tanggungjawab untuk memegang portfolio penting dalam kerajaan.

“Ini menunjukkan Perdana Menteri mengakui parti UMNO ini sebagai satu komponen yang cukup penting dalam Kerajaan Perpaduan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau berharap akar umbi UMNO terus berlapang dada dan menerima dinamika politik hari ini bagi memastikan parti tersebut terus membawa perjuangan membela nasib orang Melayu.

“Saya harap kepada akar umbi UMNO bertenang, kita kena lihat ke depan kerana politik ini amat berbeza. Akar umbi UMNO perlu yakin dengan keputusan yang dibuat oleh parti kerana segala keputusan itu adalah untuk kepentingan UMNO sendiri supaya kita terus maju ke hadapan.

“Jadi kepada akar umbi UMNO, bertenang, teruskan memberi sokongan kepada barisan tertinggi parti yang sentiasa memikirkan tumpuan terhadap parti,” katanya. – MalaysiaGazette