Pelajar, Ahmad Afif, 16 gigih menyiapkan replika Menara Berkembar KLCC dan Menara Kuala Lumpur yang diperbuat daripada botol plastik bagi menyemarakan semangat patriotik sempena menyambut Hari Kemerdekaan Ke-66 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Sungai Kajang, Tanjong Karang. Foto MOHD ADZLAN, 27 OGOS 2023.

Oleh: Prof. Madya Ts. Dr. Ahmad Mubarak Tajul Arifin

SABAN Saban tahun bulan kemerdekaan sentiasa disambut dengan penuh semangat. Tahun ini, dengan tema “Malaysia Madani : Jiwa Merdeka”, negara kita akan menyambut Hari Kebangsaan ke-67. Pelbagai program dianjurkan oleh ramai pihak dalam menyemarakkan bulan kemerdekaan. Inisiatif yang dilaksanakan ini dalam menzahirkan dan membangkitkan jiwa dan semangat patriotisme dalam kalangan warga Malaysia. Mencipta replika kemerdekaan antara aktiviti yang sering kali diadakan. Merujuk Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, replika bermaksud model sesuatu objek yang hampir atau betul-betul menyerupai objek yang asli. Kebiasaannya, replika yang dihasilkan adalah sesuatu yang ikonik dan dibanggakan.

Mencipta replika memerlukan ketelitian dalam pembangunan, sama ada ia bersaiz kecil atau besar. Umumnya, faktor yang perlu dipertimbangkan dalam pembangunan replika adalah mengenal pasti matlamat. Matlamat dalam konteks pemahaman maksud kepada audien dalam menaksir maksud replika yang telah dibangunkan. Faktor lokasi turut memainkan peranan yang penting. Lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai, tiada bencana dan selamat. Pembangunan replika bersaiz besar perlu memastikan aspek lokasi diberi keutamaan. Selain itu, penyediaan lukisan atau pelan bentuk replika juga perlu disediakan. Ia sebagai rujukan dalam mengenal pasti bahan yang bersesuaian, komponen yang akan digunakan dan ukuran/saiz replika. Di samping itu, ia dapat membantu menilai anggaran kos-kos yang berkaitan.

Aspek kekuatan dan kekukuhan replika bergantung kepada bahan yang digunakan. Pemilihan bahan turut mempengaruhi reka bentuk struktur replika. Faktor tersebut juga menyumbang kepada jangka hayat replika. Sepintas lalu, pada kebiasaannya replika kemerdekaan yang dihasilkan adalah menggunakan bahan yang boleh dikitar semula.  Penggunaan bahan yang boleh dikitar semula memberikan impak positif pada persekitaran. Walau bagaimanapun, ia dapat mempengaruhi faktor-faktor lain, antaranya adalah kualiti replika. Penggunaan teknologi dalam penghasilan replika adalah bertepatan, contohnya penggunaan dron dalam merakam dan membuat pengukuran bentuk sesuatu objek atau penggunaan mesin pencetak tiga-dimensi bagi menghasilkan replika. Teknologi ini seharusnya diterokai  bergantung pada saiz replika yang bersesuaian. Penerokaan teknologi sekali gus dapat mendidik masyarakat tentang dunia teknologi terkini. Malahan, pengintegrasian sistem  pada replika sesuatu yang harus diadaptasi.

Kekemasan antara aspek penting dalam mereka cipta replika. Kekemasan ini bagi memastikan matlamat awal penghasilan replika dapat dinyatakan secara jelas. Aspek ini memerlukan ketelitian dalam proses pembuatan replika. Manakala, aspek kebolehtahanan replika adalah bergantung kepada persekitaran replika ditempatkan, sama ada ia terdedah kepada cuaca atau terdapat impak secara langsung. Elemen-elemen ini perlu diambil kira kerana ia dapat menjejaskan kualiti replika secara amnya. Penghasilan replika melalui pendekatan proses reka cipta mengikut turutan dapat membantu proses kerja yang dilaksanakan berlangsung dengan baik dan mematuhi tempoh masa pembuatan yang telah ditetapkan.

Sokongan dari pelbagai pihak dapat membantu memeriahkan usaha mereka cipta replika kemerdekaan. Inisiatif pertandingan mereka cipta replika sedikit sebanyak dapat mendidik masyarakat tentang sejarah, semasa dan masa depan negara. Ia adalah impak daripada kajian yang dibuat, menilai dapatan dan memahami maksud replika yang akan dihasilkan. Insentif kewangan juga antara faktor yang dapat membantu memberi dorongan menjayakan pembangunan replika.

Menyelusuri falsafah dalam menghasilkan replika kemerdekaan, antaranya adalah sebagai tanda kebanggaan dan harapan pada masa depan. Ia juga memberi indikasi tentang kerjasama, keharmonian, perpaduan dan nilai-nilai sejagat. Secara tidak langsung, ia dapat menterjemahkan konsep nilai teras Malaysia Madani, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. Ia juga selaras dengan aspirasi negara dalam memastikan teras Malaysia Madani difahami dan diamalkan oleh semua lapisan masyarakat. Jiwa Merdeka!

Ketua Jabatan, Keusahawanan, Daya Usaha dan Inovasi dan Sastera Liberal, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast