Ibu kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor iaitu Meriam Ahmad, 74, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Kedah, pukul 9.40 pagi tadi. - Foto: FB Tuan Ibrahim Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Ibu kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor iaitu Meriam Ahmad, 74, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Kedah pukul 9.40 pagi tadi.

Berita itu dikongsikan oleh Pegawai Khas MB itu, Helmi Khalid menerusi laman sosialnya sebentar tadi.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menerusi laman sosial Facebook hari ini turut berkongsi berita kematian ibu Muhammad Sanusi.

“Berita dukacita dikhabarkan bahawa bonda kepada YAB Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah telah kembali kepada Maha Pencipta pagi ini.

“Saya ingin merakam ucapan takziah kepada YAB Datuk Seri Muhammad Sanusi atas pemergian bonda yang amat disayangi. Tidak tergambar kesedihan dan keperitan jiwa apabila kita kehilangan bonda yang menjadi ratu dalam hidup.

“Didoakan agar YAB Datuk Seri Muhammad Sanusi tabah, sabar dan cekal. Marilah kita berdoa agar Almarhumah Hajjah Meriam Ahmad diampuni, dirahmati, dikasihi dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Amin Ya Rabbal A’lamin,” tulis beliau menerusi hantaran itu.

Terdahulu, media melaporkan, Allahyarham Meriam ditidurkan sejak semalam selepas mengalami serangan jantung ketika berada di rumahnya di Sik, Kedah.

Muhammad Sanusi turut memaklumkan ibunya yang dipercayai terkena serangan jantung dibawa ke Hospital Sik untuk melakukan pemeriksaan awal sebelum dipindahkan ke HSB pada kelmarin. – MalaysiaGazette