Ayub Yaakob

KUALA LUMPUR – Masyarakat digesa agar tidak menormalisasikan perilaku membiarkan anak-anak mereka yang di bawah umur untuk memandu kenderaan.

Ini kerana dampak dan risiko terhadap perkara itu sangat besar sehingga mengakibatkan kematian, kata Naib Pengerusi Yayasana Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk Seri Ayub Yaakob.

Beliau berkata, semua pihak terutama ibu bapa dan penjaga dinasihatkan supaya sentiasa memantau dan mengawasi pergerakan anak-anak.

“MCPF memandang serius dua kes membabitkan remaja bawah umur yang didakwa memandu kereta dan menunggang motosikal milik ahli keluarga terdekat seperti dilaporkan media serta tular di media sosial baru-baru ini.

“Kes yang lazimnya berlaku di kawasan pinggir bandar dan luar bandar ini bukan saja boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain malah boleh mengancam nyawa pejalan kaki di kawasan sekitar.

“MCPF melihat punca kepada berlakunya kes sebegini adalah disebabkan kurangnya pemantauan dan pengawasan daripada individu lebih dewasa terutama ibu bapa dan penjaga.

“MCPF mendapati rata-rata ibu bapa di kawasan pinggir bandar dan luar bandar cenderung membiarkan anak mereka mengendalikan kenderaan bermotor tanpa pengawasan.

“Lebih membimbangkan, kebanyakan kanak-kanak yang menunggang motosikal dan memandu kereta ini langsung tidak menitikberatkan aspek keselamatan seperti tidak memakai topi dan tali pinggang kaledar serta membawa kenderaan tersebut secara melulu.

“Kesalahan ini jelas melanggar Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Ayub, pihaknya menghargai usaha seorang wanita yang telah merekod dan melaporkan kes membabitkan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang memandu Perodua Viva di sebuah taman perumahan di Puchong pada 29 Julai lalu kepada pihak berkuasa.

Ujarnya, langkah seperti  itu sekurang-kurangnya dapat mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua warga masyarakat supaya terus melaporkan kepada pihak berkuasa dan bukan menularkan kes-kes yang berlaku melibatkan kanak-kanak di media sosial.

Tegasnya, tindakan seperti itu adalah bertentangan dengan peruntukan subseksyen 15(2) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Terbaru, seorang bayi perempuan berusia 16 bulan ditemukan lemas dalam tali selepas motosikal roda tiga ditunggang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun terjatuh ke dalam tali air sedalam tiga meter di Kampung Tok Belian, Bachok pada 9 Ogos lalu.

“Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, mangsa, Mariam Afeeya Abdul Hakim meninggal dunia di lokasi kejadian kerana lemas di dasar tali air sebelum diselamatkan anggota bomba.

“MCPF berpendapat, jika semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing, tragedi hitam yang menimpa bayi Mariam Afeeya tidak akan berulang lagi,” tambahnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bagaimana pula dengan anak-anak bawah umur yang menunggang motosikal? Mengapakah pihak berkuasa menutup sebelah mata terhadap isu ini?

Comments are closed.