Reaksi sedih penyanyi, Aufahanie (tengah) bersama ibu dan abangnya selepas selesai proses pengebumian Allahyarham Muhammad Nidza Afham Mokhtar selepas selesai solat jenazah ketika di Tanah Perkuburan Islam Puncak Alam. Foto MOHD ADZLAN, 15 OGOS 2024.

PUNCAK ALAM – Ahli keluarga Allahyarham Muhammad Nidza Afham Mokhtar, menyerahkan sepenuhnya siasatan keputusan bedah siasat kepada Polis Diraja Malaysia.

Abang sulung Allahyarham, Mohd Nidza Irfan Mokhtar, 33, berkata, setakat ini keluarganya belum dimaklumkan mengenai keputusan bedah siasat tersebut.

“Kami tidak dimaklumkan apa-apa perkembangan. Pakar forensik tidak memaklumkan apa-apa, kami menyerahkan perkara ini kepada pihak polis.

“Difahamkan terdapat lagi ujian yang perlu dilakukan oleh pihak berkaitan. Bagaimanpun proses (pengebumian) pada hari ini berjalan dengan lancar daripada awal hinggalah ke sini,” katanya.

Ahli keluarga dan sahabat memasukkan Allahyarham Muhammad Nidza Afham Mokhtar ke liang lahad selepas selesai solat jenazah ketika di Tanah Perkuburan Islam Puncak Alam. Foto MOHD ADZLAN, 15 OGOS 2024.

Beliau berkata demikian selepas proses pengebumian Allahyarham Nidza Afham yang merupakan anak kelima daripada tujuh beradik di Tanah Perkuburan Bandar Puncak Alam di sini hari ini.

Petang tadi Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dalam kenyataannya memaklumkan, kes kematian Allahyarham Muhammad Nidza Afham diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Katanya, bedah siasat terhadap mayat pemuda berusia 23 tahun itu didapati tiada kecederaan fizikal dan punca kematian ‘pending laboratory investigation’.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat agar tampil menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Semalam, mayat Nidza Afham ditemui pemancing kira-kira pukul 7 malam iaitu kira-kira satu kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang di jambatan Sungai Klang.

Mayatnya kemudiannya dibawa ke Hospital Shah Alam (HSA) untuk proses bedah siasat.

Nidza Afham sebelum ini dilaporkan hilang jam 7.45 petang pada 13 Ogos lalu selepas keluar berjoging di Stadium Sulaiman, Klang. –  MalaysiaGazette