Keluarga dan rakan-rakan Allahyarham Muhammad Nidza Afham Mokhtar sudah tiba di Masjid Puncak Alam.

PUNCAK ALAM – Ahli keluarga dan rakan-rakan Allahyarham Muhammad Nidza Afham Mokhtar sudah mula tiba di Masjid Puncak Alam di sini sejak jam 1 tengah hari untuk menziarahi jenazah sahabat mereka yang ditemui di Sungai Klang lewat petang semalam selepas sehari dilaporkan hilang.

Solat jenazah Allahyarham dijangka dilakukan selepas solat Asar.

Difahamkan, van yang akan membawa jenazah Allahyarham Nidza Afham ke Tanah Perkuburan Islam Bandar Puncak Alam sudah tiba di Hospital Shah Alam (HSA).

Proses bedah siasat ke atas jenazah dijangka selesai petang ini dan proses mandi dan kapan Allahyarham difahamkan akan disempurnakan di Unit Perubatan Jabatan Forensik HSA.

Laporan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian kes Nidza Afham yang ditemukan di Sungai Klang petang semalam pula akan diketahui petang ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, laporan bedah siasat itu bagi menentukan sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya.

Katanya, berdasarkan penemuan telefon bimbit dan dompet mangsa, pihaknya masih tidak dapat mengesahkan sama ada kes ini mempunyai kaitan dengan sebarang unsur jenayah.

Nidza Afham dilaporkan hilang 7.45 petang pada Selasa lepas selepas keluar berjoging di Stadium Klang. – MalaysiaGazette