ACFTA
Bangunan MITI

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memulakan penyiasatan duti anti-lambakan ke atas import dagangan subjek yang berasal atau dieksport dari empat negara berdasarkan seksyen 20 Akta Duti Balas & Anti-Lambakan 1993 (Akta) dan peraturan 7 Peraturan-Peraturan Duti Balas & Anti-Lambakan 1994 (Peraturan).

Menerusi kenyataan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), siasatan terhadap empat negara iaitu China, India, Jepun dan Republik Korea dibuat selepas menilai dan mempertimbangkan maklumat dan bukti lambakan, kecederaan serta kesan hubungkait yang dinyatakan dalam petisyen yang diterima daripada pengeluar tempatan, Perusahaan Sadur Timah Malaysia (Perstima) Berhad.

“Pempetisyen mendakwa bahawa import dagangan subjek yang berasal atau dieksport dari negara-negara tersebut telah dijual pada harga yang lebih rendah daripada harga jualan domestik di pasaran negara-negara tersebut (harga lambakan).

“Pempetisyen seterusnya mendakwa bahawa lambakan import dari negaranegara tersebut telah meningkat dari segi kuantiti mutlak dan telah menyebabkan kemudaratan material kepada Pempetisyen,” katanya.

Menurut kenyataan itu, selaras dengan akta dan peraturan, penentuan awal akan dibuat dalam tempoh 120 hari dari tarikh pemulaan siasatan.

Katanya, sekiranya penentuan awal adalah afirmatif, kerajaan akan mengenakan duti anti-lambakan sementara pada kadar yang diperlukan untuk mengelakkan kecederaan selanjutnya kepada industri tempatan.

Tambahnya, MITI akan mengedarkan satu set soal selidik dan dokumen berkaitan kepada pihak berkepentingan seperti pengimport, pengeksport atau pengeluar asing subjek dagangan di China, India, Jepun dan Republik Korea dan persatuan-persatuan perniagaan serta kerajaan negara-negara tersebut.

Bagaimanapun pihak berkepentingan lain yang berminat untuk mengambil bahagian dalam penyiasatan duti anti-lambakan ini boleh memohon untuk mendapatkan soal selidik secara bertulis kepada MITI selewat-lewatnya pada 29 Ogos ini.

Pihak berkepentingan juga  boleh memberikan pandangan secara bertulis, jawapan soal selidik dan bukti sokongan tambahan kepada MITI selewat-lewatnya pada 13 September ini.

“Sekiranya pihak berkepentingan tidak memberikan maklumat yang diperlukan atau maklumat dan pandangan tidak diterima dalam bentuk yang memadai dalam had masa yang ditetapkan, kerajaan boleh membuat penentuan awal berdasarkan fakta sedia ada.

“Permohonan bagi borang soal selidik dan sebarang maklumat lanjut mengenai penyiasatan ini boleh didapati dengan menghubungi Pengarah, Seksyen Amalan Perdagangan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Aras 9, Menara MITI, No. 7, Jalan Sultan Haji Ahmad Shah Kuala Lumpur, “ kata kenyataan yang sama.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast