KEBIASAANNYA di kampung, jika tanahnya sedikit luas, diusahakan menjadi dusun kecil buah-buahan seperti rambutan, durian, manggis, langsat, dukung dan lain-lain lagi. Kalau luasnya hanya sekangkang kera, tanaman sayuran biasanya akan menjadi pilihan seperti kacang bendi, kacang panjang, timun, terung dan sebagainya.
Tidak hanya bercucuk tanam, mereka akan turut menternak ayam dan itik hanya bermodalkan reban kecil sahaja Melihat kepada orang tua kita dan masyarat di kampung memanfaatkan setiap inci tanah dengan tanaman yang boleh dimakan, mereka sebenarnya sudah menjiwai konsep kepentingan keterjaminan makanan sejak dahulu lagi.. Sebagai orang kampung yang tidak didedahkan dengan istilah ‘intelektual’ seperti’ keterjaminan makanan’, bagi mereka, bercucuk tanam mahupun menternak haiwan ini kelak akan mengeluarkan hasil yang kemudiaannya akan memberi manfaat kepada mereka dan ahli kelaurga untuk jangka masa pendek dan panjang.
Misalnya, ‘Aku tanam pokok buah ni untuk senangkan anak cucu kemudian hari bila teringin nak makan’; ‘Tak ada makanan, tengok belakang rumah mesti apa yang boleh di masak’ atau ‘Nak makan ayam atau telurnya, ambil sahaja di reban, tidak perlu bersusah payah ke pasar dan keluarkan duit ’. Dari sini kita dapat lihat konsep asas keterjaminan makanan sebenarnya telah sebati dengan kehidupan masyarakat kampung iaitu mereka memastikan sumber makanan sentiasa ada tidak terputus.
Melihat dari perspektif yang lebih luas, tidak semua rakyat mempunyai ‘kelebihan’ seperti orang kampung untuk mempunyai kemampuan mewujudkan sumber makanan sendiri. Selain itu, faktor ketidakcukupan sumber makanan dalam negara untuk memenuhi permintaan yang tinggi dan keperluan yang pelbagai juga perlu dilihat. Kerana itu, isu keterjaminan makanan sentiasa menjadi keutamaan kepada kerajaan kerana pengabaian kepada keperluan asas ini akan mencetuskan pelbagai dampak negatif yang berantaian dari aspek ekonomi, sosial, politik dan kestabilan negara.
Keterjaminan makanan merupakan satu kebimbangan di peringkat nasional dan global. Menurut Laporan PBB, pada tahun 2022 antara 691 juta hingga 783 juta orang di seluruh dunia mengalami kelaparan dan majoritinya merupakan penduduk Asia. Seramai 425 juta orang di Asia juga dianggarkan mengalami kekurangan zat makanan. Meskipun Malaysia merupakan antara negara pengeluar minyak sawit dan beras tertinggi di Asia, negara kita masih menunjukkan arah aliran yang tidak stabil dalam keterjaminan makanan. Indeks Keterjaminan Makanan Global (GSFI) pada tahun 2022 menunjukkan Malaysia menduduki tempat ke-41 daripada 113 negara, iaitu penurunan sebanyak tujuh tangga berbanding kedudukan tahun sebelumnya.
Untuk menangani isu keterjaminan makanan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah memperkenalkan dua dasar iaitu Dasar Keterjaminan Makanan Negara
2021-2025 dan Dasar Agro-Makanan Negara 2021-2030. Kedua-dua dasar ini menekankan tiga aspek penting yang boleh meningkatkan keterjaminan makanan negara, yakni mengurangkan tahap import dan eksport makanan, meningkatkan pertanian domestik dan meningkatkan pengeluaran komoditi. Perkembangan terkini Kerajaan pada April lalu mengumumkan akan membangunkan indikator khusus menerusi khusus menerusi pembangunan indikator keterjaminan makanan yang berdaya saing bagi mengukur tahap keterjaminan makanan negara.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perkara itu adalah antara inisiatif yang diperhalusi bagi memastikan keterjaminan makanan pada Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara Bilangan 1 Tahun 2024. Beliau berkata inisiatif lain adalah melibatkan semua kementerian, jabatan dan agensi berkaitan, yang akan mengadakan kolaborasi bagi menawarkan tanah yang belum dibangunkan untuk dimanfaatkan bagi program penanaman bawang.
Selain itu transformasi perubahan struktur ke atas sektor padi dan beras negara turut dicadangkan, antaranya seperti pembukaan agihan baja berpusat, penggantian subsidi input kepada subsidi output, penggemblengan big data serta penggunaan teknologi digital. Malah Garis Panduan Perancangan Kilang Tanaman (GPP KiTa) juga akan dibangunkan sebagai instrumen memudah cara dan menyokong ekosistem industri tanaman makanan, khususnya melalui kaedah tanaman Kilang Tanaman (Plant Factory).
Seiring dengan konsep ‘Keterjaminan Makanan adalah Tanggungjawab Bersama’ di bawah aspirasi Malaysia Madani, generasi muda perlu diyakinkan untuk bergiat aktif dalam sektor pertanian secara serius sebagai pekerja, tenaga pakar mahupun menjadi usahawan atas potensi tinggi yang dimiliki oleh sektor ini. Yakinilah, apabila berbudi pada tanah pasti ada hasilnya dan bidang pertanian adalah perniagaan yang mampu menjana pendapatan yang besar.
Penulis merupakan Penolong Pendaftar di Pusat Tamhidi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Timbalan Bendahari Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM. Penulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili mana-mana pihak atau institusi.