KUANTAN – Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) dikhuatiri lemas di Sungai Pahang di Kampung Kiambang Ganchong, Pekan setelah gagal ditemui sejak semalam.
Menurut Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, pihaknya dimaklumkan pihak polis berhubung kejadian itu pada pukul 11.02 malam tadi.
Beliau berkata, lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Peramu dikejarkan ke lokasi dan menjalankan operasi pencarian di kawasan tebing sungai.
Katanya, berdasarkan maklumat diperoleh daripada ahli keluarga, mangsa dikenali sebagai Mahadir Abd Hamid, 49, dikatakan hilang sejak pukul 9 pagi.
Susulan itu, katanya, gerakan mencari lelaki OKU itu telah dimulakan pihak polis bersama penduduk kampung namun mangsa gagal ditemui.
Bagaimanapun, Zulfadli berkata, polis kemudian menjumpai selipar mangsa di kawasan sungai tersebut dan menjalankan operasi cari lamat.
Operasi tersebut ditangguhkan kira-kira sejam kemudian dan akan disambung pagi ini. – MalaysiaGazette